oleh : Khoirun Nisya Ruslan & Nur Alya Balqis Halmi

BANGI – Mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program Usahawan Muda (PUM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung gilang-gemilang di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 hingga 2 April lalu.

Program Usahawan Muda 2026 dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dan pelbagai agensi kerajaan bagi memupuk ekosistem keusahawanan yang mampan dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia.

Program bertemakan “Dari Kampus ke Dunia Niaga” itu menjadi platform utama buat pelajar untuk menyelami realiti dunia perniagaan melalui sesi perkongsian bersama tokoh industri dan pertandingan keusahawanan yang kompetitif.

Antara pengisian yang mencuri tumpuan mahasiswa UPSI adalah sesi Bicara Usahawan yang menampilkan pengasas jenama tular, Kopi Saigon iaitu Asyraf Kamal. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan bahawa menjadi seorang pencipta kandungan (content creator) tidak menuntut seseorang untuk menjadi tular setiap hari.

“Apa yang lebih utama adalah menjaga kualiti kandungan demi memelihara reputasi syarikat dan kebajikan pekerja di bawah naungan kita,” jelas beliau.

Beliau turut menitipkan pesanan agar usahawan muda tidak meniru idea orang lain secara bulat-bulat. Sebaliknya, mereka perlu mengambil pengalaman individu berjaya dan mengolahnya dengan elemen kreatif serta inovatif. Strategi pemasaran juga harus dinamik mengikut peredaran zaman, seperti kolaborasi Kopi Saigon bersama ikon gamers, Soloz, bagi menarik minat golongan belia.

Tidak sekadar hadir sebagai penonton, UPSI turut menghantar wakil bagi menyertai pertandingan Business Combat. Mempertaruhkan konsep unik “Barber Bus”, peserta daripada UPSI mempamerkan daya kreatif tinggi dalam menawarkan perkhidmatan gunting rambut bergerak yang inovatif, sekali gus menarik perhatian juri dan pengunjung pameran.

Penyertaan ini membuktikan mahasiswa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berani terjun ke lapangan perniagaan yang mencabar.

Mengulas mengenai jatuh bangun dalam perniagaan, para pelajar diingatkan bahawa dikhianati rakan kongsi atau menghadapi kebangkrutan adalah lumrah dalam dunia perniagaan yang mematangkan.

“Hidup memang perlu buat silap sebagai proses belajar. Yang penting adalah bangun semula kerana slow progress is still progress,” tambah pengasas Kopi Saigon itu lagi, sambil menekankan kepentingan mempunyai ‘Big Why’ atau matlamat utama yang kuat dalam mempertahankan perniagaan.