Oleh : Alif Nawi dan Alya
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM) telah menganjurkan program Discovering the Leader in You pada 25 Februari 2026 yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara dalam talian.
Program ini dihadiri 64 orang peserta yang terdiri daripada barisan pemimpin pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikenal pasti mempunyai potensi kepimpinan tinggi.
Antara peserta yang terlibat ialah barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), English Language Society, serta mahasiswa dari pelbagai fakulti yang aktif dalam kepimpinan kampus.
Penganjuran program ini bertujuan membantu peserta mengenali potensi kepimpinan diri melalui refleksi kendiri, penghayatan nilai peribadi dan pengukuhan kemahiran bekerja dalam pasukan.


Program ini dimulakan dengan sesi energizer interaktif yang mengajak peserta menilai kefahaman mereka tentang maksud kepimpinan.
Peserta turut didedahkan kepada pelbagai petikan tokoh terkenal seperti Yasmin Ahmad, Steve Jobs dan Nelson Mandela sebagai pencetus refleksi terhadap gaya dan nilai kepimpinan yang memberi inspirasi kepada mereka.
Slot perkongsian utama menampilkan Hazelynn Anak Rimbar sebagai penceramah jemputan yang berkongsi perjalanan kepimpinan peribadi beliau melalui fasa meneroka, membangun dan memperluas impak manakala Amir Isa bertindak sebagai fasilitator utama program serta memperkenalkan inisiatif Teach For Malaysia seperti Fellowship Program dan Campus Leader kepada para peserta.
Program ini membuka peluang kepada graduan dan guru muda untuk menjadi agen perubahan dalam sistem pendidikan negara, khususnya di sekolah berkeperluan tinggi.
Perkongsian ini memberi gambaran jelas bahawa kepimpinan bukanlah sekadar jawatan, sebaliknya satu siri pilihan dan tindakan harian yang bermula dengan memimpin diri sendiri.
Bagi memastikan kelangsungan penglibatan aktif peserta sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif telah dilaksanakan, termasuk sesi check-in mood, permainan interaktif menggunakan platform Menti, serta perbincangan berkumpulan melalui kaedah Zoom breakout rooms yang berteraskan kepada situasi sebenar.
Melalui pengenalan konsep Lead Self, Lead Others dan Lead Change, peserta didorong untuk memahami bahawa asas kepimpinan terletak pada kesedaran kendiri.


Penekanan diberikan kepada kepentingan refleksi berterusan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta nilai peribadi yang membentuk identiti seorang pemimpin.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada strategi SAIL iaitu Suspending Judgement, Asset-based Thinking, Interpersonal Awareness dan Locus of Control sebagai pendekatan mengurus emosi dan pemikiran ketika berhadapan cabaran dalam kerja berpasukan.
Melalui perbincangan kes berkumpulan, peserta menganalisis situasi sebenar dan mempraktikkan strategi tersebut secara kolaboratif.
Wakil Teach For Malaysia, Amir Isa, turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan keterbukaan para peserta sepanjang program berlangsung.
Beliau berkata bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang memegang jawatan, tetapi tentang keberanian untuk membuat pilihan yang betul walaupun dalam situasi yang mencabar.
Amir turut menggalakkan mahasiswa agar terus memupuk sikap reflektif, berani menerima maklum balas serta sentiasa melihat cabaran sebagai peluang untuk berkembang.
“Kepimpinan bukan tentang jawatan, tetapi tentang keberanian membuat pilihan yang betul dalam apa jua keadaan. Saya percaya mahasiswa UPSI mampu menjadi agen perubahan yang memberi impak kepada masyarakat,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang reflektif, inklusif dan interaktif sejurus mencerminkan komitmen berterusan EDGE dalam menyediakan platform pembangunan kepimpinan mahasiswa agar lebih bersedia menjadi pemimpin yang berintegriti serta agen perubahan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan sistem pendidikan negara.
