Oleh: Nur Hasya Abdul Rahim, Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin

Tanjong Malim, 16 Februari 2026 – Program Webinar Antarabangsa: Ramadan Bulan Tarbiah anjuran Persatuan Pendidikan Islam (PPI) sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, Persatuan Pendidikan Islam (PPI) UIN Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia serta Persatuan Mahasiswa Malaysia Al-Bayt dan Az-Zarqa (PRISMA) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Program ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa/i UPSI, UIN Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia, mahasiswa Malaysia di Al-Bayt serta masyarakat umum.

Program ini telah berlangsung secara atas talian melalui siaran langsung Facebook dan Google Meet, bermula pada jam 8:30 malam hingga 10:30 malam mengikut waktu Malaysia.

Program ini diterajui oleh pengarah program, Ahmad Hadi Salleh bin Zakaria bersama barisan ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab menguruskan kelancaran perjalanan program.

Dalam masa yang sama, Ahmad Hadi turut menggalas peranan sebagai panel jemputan bersama M. Arie Firdaus Heriansyah dan Muhammad Umair Hamzah bin Mohd Fauzi bagi membincangkan penghayatan Ramadan sebagai bulan tarbiah.

Program ini merupakan salah satu program kolaborasi yang melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Jordan.

Webinar ini dilaksanakan bertujuan untuk membincangkan serta berkongsi ilmu dalam kalangan mahasiswa/i berkaitan kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan. Webinar ini turut bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa/i untuk berkongsi pengalaman berpuasa di negara masing-masing yang mempunyai adat dan budaya yang berbeza.

Para peserta juga didedahkan dengan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Ramadan sebagai satu bentuk penghayatan terhadap kemuliaan bulan tersebut.

Menurut Muhammad Umair Hamzah bin Mohd Fauzi, Ramadan merupakan satu bentuk pendidikan yang menyeluruh sebagai sebuah tarbiah, meliputi pembinaan karakter dan disiplin seperti bangun sebelum subuh, penyucian diri dengan sentiasa berzikir, memupuk rasa syukur dan sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Seterusnya, M. Arie Firdaus Heriansyah dan Ahmad Hadi turut menekankan amalan yang perlu diteruskan walaupun selepas Ramadan berakhir, antaranya memperbanyakkan doa dan memohon keampunan, beristighfar, bersedekah, membaca Al-Quran serta mengamalkan al-Mulk pada waktu-waktu tertentu seperti dhuha, selepas subuh dan selepas isyak.

Kesimpulannya, program ini memberikan impak yang besar dalam membina jaringan ukhuwah antara mahasiswa di peringkat antarabangsa serta membuka minda peserta terhadap kepelbagaian cara penghayatan Ramadan di negara berbeza.

Melalui perkongsian yang berlangsung, peserta dapat meningkatkan kesedaran diri untuk memperbaiki amalan harian dan lebih menghargai nilai spiritual dalam kehidupan.

Selain itu, program ini juga membantu melahirkan individu yang lebih berdisiplin, berfikiran terbuka dan bersemangat untuk terus menuntut ilmu serta menyebarkan kebaikan dalam masyarakat.