Oleh: Lailathul Syuhada Mohamad Hashni
Tanjong Malim, 11 April 2026 – Program ilmiah berkonsepkan keagamaan dan kesedaran ilmu, iaitu Halaqah: “Al-Quran, Sains dan Kiamat” telah berjaya dilaksanakan oleh Kolej Harun Aminurrashid dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KESUA) bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang hubungan antara wahyu dan penemuan sains moden.
Program ini telah menghimpunkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta masyarakat sekitar dalam usaha memperkukuhkan kefahaman terhadap konsep kemukjizatan Al-Quran, khususnya dalam aspek sains dan fenomena akhir zaman.
Penganjuran program ini juga dilihat selari dengan hasrat melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelektual dan spiritual.


Ceramah utama telah disampaikan oleh tokoh ilmuwan terkenal iaitu Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin yang merupakan seorang doktor perubatan, penulis buku serta penceramah bebas yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah dan motivasi.
Penyampaian beliau telah berjaya menarik minat para peserta serta membuka minda mereka terhadap kepentingan memahami Al-Quran dari perspektif saintifik.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan serta meningkatkan pemahaman peserta terhadap ilmu Al-Quran dan sains, di samping menggalakkan pengamalan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan seharian.
Selain itu, program ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan manusia sebagai khalifah di bumi dalam menjaga dan memelihara alam sekitar sebagai amanah daripada Allah SWT.
Berdasarkan tentatif program, majlis telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan ketibaan peserta. Program kemudiannya diteruskan dengan sesi tilawah Al-Quran dan tafsir ayat sebelum berlangsungnya ceramah perdana yang mengambil masa selama dua jam. Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu jemputan dalam kalangan pensyarah dan tokoh akademik UPSI.
“Apakah yang perlu kita persiapkan untuk diri kita menuju hari kiamat?” begitulah persoalan yang dilontarkan oleh Dato Dr. Danial Zainal Abidin pada permulaan ceramahnya, sekali gus menarik perhatian dan menyentuh hati para peserta.
Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa tarikh berlakunya kiamat merupakan rahsia Allah dan tidak dapat diketahui oleh manusia.
Beliau turut menjelaskan bahawa ceramah tersebut akan mengupas beberapa aspek penting termasuk tarikh berlakunya kiamat, tanda-tandanya serta perbincangan tentang batasan sains dalam memahami perkara ghaib.


Program ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian penghargaan, fotografi serta jamuan makan tengah hari.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberikan impak yang positif kepada para peserta dalam meningkatkan kefahaman tentang hubungan antara Al-Quran dan sains, di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan persediaan menghadapi hari akhirat.
