Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid dam Kuganeshwarry Saravanan
TANJONG MALIM, 15 April 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama pelajar Praktikum Kaunseling dibawah Penasihat Encik Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid telah berjaya menganjurkan Program Mind Matters: Breaking The Silence Series 1 bertempat di platform Google Meet dan Facebook Live Pusat Kaunseling UPSI.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 petang ini mensasarkan penglibatan secara menyeluruh daripada warga UPSI yang merangkumi semua staf dan juga pelajar.
Kumpulan sasaran ini dipilih secara inklusif untuk memastikan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dapat disebarkan secara meluas merentasi pelbagai lapisan komuniti universiti.


Dengan penglibatan warga universiti secara kolektif, program ini diharapkan dapat membina sebuah ekosistem sokongan yang lebih empati serta prihatin dalam menangani cabaran emosi dan mental secara bersama.
Program ini dikendalikan oleh Nur Aimi Nabila Azahar yang bertindak sebagai Pengarah Program dengan sokongan barisan ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada pelajar praktikum Pusat Kaunseling UPSI.
Kerjasama yang padu dalam kalangan urus setia telah memastikan kelancaran pelaksanaan program serta penyampaian pengisian yang teratur dan berkesan kepada para peserta.
Sepanjang program berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan yang memberangsangkan dalam sesi perkongsian dan soal jawab.
Suasana yang kondusif dan menyokong membantu peserta untuk lebih terbuka dalam memahami isu yang dihadapi serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental.



Program ini turut memberi penekanan kepada penerimaan terhadap bantuan profesional sebagai satu bentuk sokongan berterusan dalam menangani cabaran kehidupan.
Objektif program telah dicapai melalui penyampaian maklumat yang jelas serta pendedahan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Program ini juga membantu peserta mengenal pasti kepentingan pengurusan emosi dan tekanan sebagai asas kepada kesejahteraan diri secara menyeluruh. Inisiatif ini selari dengan peranan Pusat Kaunseling UPSI dalam menyokong pembangunan kendiri dan kesejahteraan emosi warga universiti.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas agar kesedaran terhadap kesihatan mental dapat diperkukuh serta membentuk komuniti yang lebih prihatin, empati dan sejahtera.

