Sesi ceramah berlangsung dengan ilmu yang bermanfaat serta penuh semangat oleh Cik Nur Alia Syifaa’ Binti Mohd SukriSesi ceramah berlangsung dengan ilmu yang bermanfaat serta penuh semangat oleh Cik Nur Alia Syifaa’ Binti Mohd Sukri

Oleh: Nur Alieya Ifhami Ramli dan Noor Syaibah Shabuddin

Tanjong Malim, 11 April 2026 – Kelab Pembimbing Rakan Siswa Universiti Pendiidkan Sultan Idris (PRS UPSI) dengan kerjasama Pusat Kaunseling Universiti UPSI telah menganjurkan Program Mahasiswa & Emas: Pelaburan Awal Untuk Masa Depan secara dalam talian melalui platform Google Meet pada Sabtu, 11 April 2026 yang lalu.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi ini telah dirasmikan oleh Puan Noor Syaibah Binti Shabuddin, Penasihat Kelab PRS UPSI.

Turut dijemput sebagai penceramah ialah Nur Alia Syifaa’ Mohd Sukri, salah seorang pengedar sah dan aktif daripada Public Gold Malaysia yang berkongsi ilmu berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan emas.

Seramai hampir 188 orang peserta yang terdiri daripada pelajar universiti awam dan swasta, serta orang awam turut serta dalam program yang menerima sambutan sangat menggalakkan ini.

Penganjuran program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan peranan dan manfaat penyimpanan emas dalam pengurusan kewangan peribadi namun ia juga bertujuan memupuk minat serta kesedaran dalam kalangan pelajar untuk membudayakan amalan menabung sebagai persediaan masa hadapan.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Luqman Hakim Bin Norazni
Ucapan aluan dan perasmian oleh Puan Noor Syaibah Binti Shabuddin, Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Siswa UPSI
Sesi ceramah berlangsung dengan ilmu yang bermanfaat serta penuh semangat oleh Cik Nur Alia Syifaa’ Binti Mohd Sukri

Sebagai seorang mahasiswa juga, program ini menyokong pelajar untuk merancang strategi kewangan yang lebih bijak dan konsisten sepanjang tempoh pengajian.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan kepentingan pengurusan kewangan yang sistematik serta kelebihan pelaburan emas sebagai aset jangka panjang yang stabil, patuh syariah dan mampu milik.

Sesi perkongsian turut diserikan dengan interaksi dua hala antara penceramah dan peserta yang memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan topik yang dibincangkan.

Walaupun dilaksanakan secara dalam talian, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pelajar dan masyarakat luar.

Sesi soal jawab bersama penceramah jemputan dan para peserta
Barisan peserta program bergambar bersama penceramah jemputan dan tetamu kehormat
 

Isu kewangan merupakan aspek penting dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup. Pelaburan emas dilihat sebagai satu alternatif yang selamat dan sesuai untuk perancangan kewangan jangka panjang.