Sesi bergambar bersama peserta sebelum aktiviti pendakian ke Lata Perangin, Proton CitySesi bergambar bersama peserta sebelum aktiviti pendakian ke Lata Perangin, Proton City

Oleh: Nurul Syazliana binti Azmi dan Noor Syaibah Shabuddin

Tanjong Malim, 18 April 2026 – Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) dengan kerjasama Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program PRS Harmony Escape bertempat di Lata Perangin, Tanjong Malim, Perak.

Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 1.30 petang ini melibatkan penyertaan ahli Kelab Pembimbing Rakan Siswa Sidang 2025/2026 merangkumi Majlis Tertinggi, Exco, Rakan Exco dan juga ahli aktif.

Program yang turut disertai oleh Penasihat Kelab, Puan Noor Syaibah ini bertujuan untuk memperkukuh ukhuwah dan kesejahteraan emosi dalam kalangan ahli kelab melalui pendekatan latihan luar (outdoor training) yang dirangka secara khusus. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan personaliti ahli yang berwibawa, beretika dan kompeten dalam menjalankan peranan sebagai Pembimbing Rakan Siswa.

Peserta berehat sebentar sebelum meneruskan aktiviti pendakian
Ketika aktiviti pendakian sedang dijalankan
Peserta sampai di puncak Lata Perangin

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk sesi pendakian, aktiviti berkumpulan, serta sesi perkongsian dan refleksi. Antara momen menarik yang dapat disaksikan ialah sesi bergambar sebelum aktiviti pendakian bermula, semangat kerjasama ketika mendaki, serta kegembiraan peserta apabila berjaya sampai ke puncak Lata Perangin. Tidak ketinggalan, sesi santai makan tengah hari bersama di Dewan Rimbun Ujana Muallim dan refleksi program turut mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan peserta. Sesi refleksi berjaya dikendalikan oleh dua orang pelajar Kaunseling yang sedang menjalani Latihan praktikum dan Latihan Industri di Pusat Kaunseling UPSI.

Sebahagian ahli Majlis Tertinggi Kelab bersama Penasihat Kelab
Sesi perkongsian dan refleksi program dikendalikan oleh pelajar praktikum dan Latihan Industri dari Pusat Kaunseling UPSI

Secara keseluruhannya, Program PRS Harmony Escape berjaya memberikan impak positif kepada peserta dari segi pengukuhan ukhuwah, peningkatan kesejahteraan emosi serta pembentukan jati diri sebagai pemimpin pelajar yang lebih berwibawa. Melalui aktiviti luar yang dijalankan, peserta dapat mengaplikasikan kemahiran insaniah seperti kerjasama, komunikasi dan kepimpinan secara lebih efektif. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti yang disasarkan.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sesuai dengan keperluan pengukuhan emosi dan kesejahteraan kesihatan mental mahasiswa kini yang berdepan dengan cabaran psikososial yang tinggi akibat ketergantungan dengan teknologi.