oleh Che Noor Hawa Che Ismail
TANJONG MALIM, 21 April 2026— Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi kolaborasi Pusat Penyelidikan Inklusif Komuniti dan Disabiliti (CIRCLE) bersama Sekretariat Task Force OKU Malaysia menganjurkan Program International Webinar on Neurodivergence bertemakan “Autism and Humanity – Every Life Has Value” pada 20 dan 21 April lepas.
Program yang berlangsung secara dalam talian melalui Google Meet itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Raja Nor Safinas Raja Harun, yang menekankan kepentingan pendekatan inklusif dalam memperkasa kefahaman masyarakat terhadap individu autistik.








Webinar berkenaan menghimpunkan barisan pakar dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan Nigeria, sekali gus memperkukuh jaringan global dalam bidang neurodiversiti dan kesihatan mental. Antara penceramah yang terlibat ialah Pengarah CIRCLE UPSI, Hasrul Hosshan yang membentangkan topik Autism and Adolescents, diikuti Hetty Zuliani dari Universitas Syiah Kuala dengan perkongsian mengenai cabaran psikologi individu autistik.
Turut berkongsi kepakaran ialah Aroyewun Temitope Folashade yang membincangkan pengenalpastian awal gangguan spektrum autisme, serta Iylia Dayana Shamsudin yang mengetengahkan pendekatan Floortime dalam intervensi kanak-kanak. Selain itu, ahli terapi tingkah laku, Adriana Dian Putri Yohan Biantoro membentangkan intervensi ABA, manakala Fakruddin Faris Nazri menyentuh kesejahteraan psikologi ibu bapa dan penjaga.



Sesi forum bertajuk “Autism and Humanity – Every Life Has Value” turut diadakan dengan menampilkan panel antarabangsa termasuk wakil industri dan institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi MARA dan De La Salle University, yang membincangkan kepentingan pendekatan kemanusiaan dalam menangani isu autisme.
Antara objektif utama program adalah meningkatkan kesedaran serta literasi psikologi berkaitan autisme, menyokong kesejahteraan ibu bapa dan penjaga, memperkukuh peranan institusi dalam membudayakan inklusiviti, serta memperluas impak melalui perkongsian global tanpa sempadan.



Program itu juga menyaksikan penglibatan pelbagai organisasi termasuk Oasis Sdn Bhd selain institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa komuniti autisme.



Penganjuran webinar ini menunjukkan bahawa isu psikologi berkaitan autisme merupakan fenomena global yang merentas pelbagai lapisan masyarakat. Perkongsian ilmu yang diadakan diharap dapat menjadi panduan kepada masyarakat untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi individu autistik serta keluarga mereka, khususnya dari aspek psikologi.

