Oleh: Syahierah Aziemah dan Ainul Atiqah

Tanjong Malim, 26 April 2026 – Program K-Fusion Explorace telah berjaya dianjurkan oleh Blok Kediaman 3, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan penyertaan terbuka kepada semua penghuni kolej KHAR. Program ini dirangka bagi menguji keupayaan fizikal dan mental peserta melalui pelbagai cabaran explorace, di samping memupuk kerjasama berpasukan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta menyemai semangat kesukanan.

Program K-Fusion Explorace dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta tentang senario budaya Korea, terutamanya K-pop melalui muzik, drama, aksi dan gaya, yang kini menjadi trend global yang signifikan dalam kalangan remaja. Program ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperdalam kefahaman peserta mengenai elemen muzik, tarian, dan fesyen Korea, sekali gus memupuk minat terhadap kepelbagaian budaya antarabangsa secara berinformasi dan positif. 

Menerusi aktiviti explorace yang mencabar, semangat kolaborasi dan jati diri para peserta dapat dipupuk secara semula jadi. Keunikan program yang mengintegrasikan elemen K-pop ini sebenarnya bertujuan menarik minat mahasiswi terhadap aktiviti yang berfaedah, di samping mewujudkan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan identiti budaya sendiri di tengah-tengah kepesatan fenomena globalisasi.

Bagi memastikan objektif tersebut tercapai, Program K-Fusion Explorace telah disusun secara strategik melalui pengisian 10 lokasi checkpoint yang interaktif. Setiap stesen dirancang dengan aktiviti khusus yang mengintegrasikan elemen teras budaya Korea merangkumi seni muzik, tarian, aksi, gaya dan fesyen bagi menawarkan pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang unik, mencabar, serta mempunyai nilai hiburan yang berkualiti.

Kehadiran Puan Norrulkamari Daud, selaku Felo Blok Kediaman 3, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), telah menyemarakkan lagi suasana program, di samping mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan kolej terhadap inisiatif mahasiswi kolej. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan platform sebegini sebagai wadah terbaik untuk mengasah keyakinan diri serta memperkukuh jalinan sosial antara pelajar. Beliau turut menambah bahawa aktiviti dalam kolej kediaman yang kreatif seumpama ini amat penting dalam memberi pengalaman baru yang bermakna buat peserta.

Dalam pada itu, Saudari Umairah Batrisyia binti Mohd Khazli selaku Pengarah Program menjelaskan bahawa program ini bertujuan menyediakan ruang interaksi yang lebih santai melalui tugasan berkumpulan. Jelas beliau, penglibatan aktif peserta dalam setiap aktiviti bukan sahaja mampu mengukuhkan tali persahabatan, malah secara tidak langsung mewujudkan persekitaran penghuni kolej yang lebih mesra dan bersatu padu.

Menjelang tengahari, program ini sampai ke penghujungnya dengan sesi penyampaian hadiah sebagai acara kemuncak. Lebih daripada sekadar mengiktiraf kemenangan, sesi ini merupakan manifestasi penghargaan pihak penganjur atas daya usaha dan kesungguhan para peserta dalam menyempurnakan setiap cabaran dengan penuh dedikasi.

Dapatan daripada maklum balas peserta juga menunjukkan tahap penglibatan peserta yang amat memberangsangkan. Rata-rata peserta menyifatkan pengisian aktiviti sebagai inovatif dan mencabar, sekali gus berjaya meninggalkan impak serta pengalaman pembelajaran yang mendalam dan menyeronokkan.

Tamatnya sesi fotografi bersama Felo Blok dan seluruh jawatankuasa bersama peserta program menandakan berakhirnya sebuah program yang penuh pengisian. Melalui K-Fusion Explorace, setiap peserta bukan sahaja diuji dari segi kerjasama kumpulan, malah turut didedahkan dengan keunikan budaya K-pop yang merangkumi aspek seni dan gaya hidup. Semoga kesinambungan program ini dapat diteruskan pada sesi akan datang dengan aktiviti yang lebih segar dan inovatif.