Prof. Dr. Norkhalid Salimin melancarkan gimik perasmian penutupan FESWARA di Panggung Percubaan.Prof. Dr. Norkhalid Salimin melancarkan gimik perasmian penutupan FESWARA di Panggung Percubaan.

Oleh: Hafiz Abd Manap

Kolej Ungku Omar, UPSI sekali lagi melakar sejarah melalui penganjuran kali ketiga berturut-turut FESWARA: Festival Warisan Seni Nusantara 2026, sebuah festival berprestij yang menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan serantau melalui apresiasi seni, budaya dan diplomasi intelektual. 

Program yang berlangsung selama enam hari bermula 19 hingga 24 April 2026 ini bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dianjurkan oleh Exco Warisan Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar.

Pada edisi sebelumnya, ARSIA dan DWISUTRA juga telah membawakan konsep sama namun terdapat kelainan yang ditonjolkan pada setiap edisi penganjurannya.

FESWARA bukan sekadar festival seni biasa, malah menjadi jambatan yang menghubungkan kepelbagaian warisan budaya antara negara serumpun.

Ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Norkhalid Salimin.
Sekitar majlis pembukaan FESWARA 2026 oleh Prof. Mohd Nizam Nasrifan.
Mahasiswa UPSI memenuhi ruang panggung percubaan UPSI.

Program ini menghimpunkan mahasiswa UPSI bersama delegasi antarabangsa dari Universitas Bina Darma, Universitas Pendidikan Indonesia, dan Universitas Batu Radja, selain penyertaan IPTA/IPTS dari seluruh Semenanjung Malaysia serta masyarakat umum.

Kehadiran pelbagai delegasi ini memperlihatkan komitmen besar dalam memartabatkan seni sebagai bahasa perpaduan tanpa sempadan.

Festival ini diwujudkan bagi menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing global yang memiliki jati diri budaya yang kukuh.

Selain itu, FESWARA turut bertujuan memperkukuh hubungan serantau antara universiti tempatan dan institusi pengajian tinggi di Nusantara melalui diplomasi budaya, memberikan pengalaman silang budaya yang autentik kepada mahasiswa, serta meningkatkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama antarabangsa.

Menurut Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang turut hadir bagi merasmikan majlis penutupan program ini, menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran festival tersebut.

Beliau melihat FESWARA sebagai satu contoh terbaik program mahasiswa yang berjaya mengangkat martabat seni, budaya dan warisan Nusantara ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, festival seperti ini wajar dicontohi oleh kolej-kolej kediaman lain agar lebih banyak inisiatif berteraskan budaya dan tradisi dapat dilaksanakan.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa program seperti FESWARA membuka ruang yang sangat luas untuk mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, sekali gus memperkukuh jaringan global dan memperkaya pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.

Dalam ucapan lain, Chm. Dr. Mohd Saufi Rosmi yang mewakili pihak Kolej Ungku Omar (KUO) turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan FESWARA 2026.

Beliau menegaskan bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk melaksanakan program berimpak tinggi seperti ini tanpa kewujudan jawatankuasa yang kukuh, komited dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

Menurut beliau, semangat berpasukan, kesungguhan serta pengorbanan semua pihak menjadi tunjang utama kejayaan festival ini sehingga mampu dilaksanakan pada skala antarabangsa.

Persembahan peserta dalam Malam Alunan Hikayat Drama Tari.
Chm. Dr. Mohd Saufi menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi festival.

Bagi Pengarah Program, Saudara Christopher Leo, perancangan bagi menjayakan festival berskala besar ini telah dimulakan sejak penghujung tahun 2025 lagi.

Beliau menyatakan rasa terharu dan bersyukur atas pencapaian tersebut kerana berpeluang memikul amanah besar dalam menggerakkan sebuah program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Baginya, FESWARA bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan warisan seni Nusantara, malah menjadi bukti bahawa mahasiswa mampu menjadi penggerak utama dalam mencipta perubahan dan membina jaringan global yang lebih luas.

Dalam pada itu, Dr. Nuzsep Almigo yang mewakili delegasi Indonesia sangat berterima kasih di atas sambutan dan ruang yang diberikan untuk sama-sama berkongsi pandangan, bertukar idea serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam bidang seni dan budaya Nusantara.

KUO bukanlah satu destinasi berprogram semata-mata, malah ia lebih daripada itu, ibarat pulang ke kampung halaman yang dirindui, katanya lagi yang turut menzahirkan rasa mesra, kekitaan serta hubungan erat yang terjalin sepanjang program berlangsung.

Sepanjang penganjuran festival, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah disusun seperti KUO NextGen Leadersphere: Dialogue Across Border, Nexus Dialogue: Beyond the Lecture Hall, Langkara: Langkah Aspirasi Rentak Bersama melalui Fun Run dan Zumbathon, Bengkel Titian Tari: Rentak Kita, Jiwa Bersama, pertandingan Alunan Hikayat: Drama Tari, program masakan budaya Aroma Santara: Sehidang Rasa, Sejiwa Budaya, Essence of Batik, serta malam kemuncak Pentas Citra Budaya yang menampilkan persembahan pelbagai negara.

Lebih menarik, FESWARA turut membuka ruang interaksi antara budaya melalui pelbagai sesi perkongsian, forum ilmiah, pameran warisan dan persembahan seni yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik.

Program seperti Nexus Dialogue: Beyond the Lecture Hall memberi dimensi baharu kepada festival ini apabila mahasiswa berpeluang berdialog secara langsung mengenai pengalaman kepimpinan, cabaran dunia akademik dan pembangunan sahsiah di luar bilik kuliah.

Festival ini menjadi medium terbaik untuk mahasiswa memahami nilai kepelbagaian budaya sambil memperkukuh semangat kebersamaan dan identiti Nusantara.

Program ini turut mencerminkan komitmen besar dari aspek pengurusan dan pelaksanaan, sekali gus membuktikan kesungguhan pihak penganjur dalam menjadikan FESWARA sebagai festival warisan bertaraf antarabangsa.

Dengan sokongan pelbagai pihak, festival ini bukan sahaja mengangkat martabat seni budaya tradisional, malah menjadi simbol kesatuan serantau dalam kalangan generasi muda.

Sebelumnya, festival ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Prof. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar pada 20 April 2026 di Dewan Kolej Ungku Omar.

FESWARA 2026 bukan sahaja menjadi ruang meraikan seni dan budaya, malah berfungsi sebagai wahana diplomasi budaya, pertukaran intelektual serta pembangunan sahsiah mahasiswa.

Program ini diyakini mampu meningkatkan keterlihatan UPSI di peringkat antarabangsa dan meneguhkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemelihara utama kelestarian warisan budaya Nusantara. FESWARA membuktikan bahawa seni bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah bahasa perpaduan yang mampu menyatukan jiwa, budaya dan masa depan serantau.