Oleh: Nur Amirah Sahira Zulkefli, Syaidatul Izati Sofia Mohd Dasan, Chempaka Juhari & Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail

TANJUNG MALIM, 18 – 19 April 2026 — Program Geo Championship anjuran Persatuan Geografi (PERGEO) berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui pelbagai acara sukan yang berlangsung dalam suasana meriah dan kompetitif.

Inisiatif ini dibawakan khas oleh Exco Sukan dan Rekreasi (SCOREX), Persatuan Geografi sesi 2025/2026. Program ini turut dijalankan dengan kolaborasi bersama BHEP UPSI, Fakulti Sains Kemanusiaan, Majlis Perawakilan Pelajar UPSI, Jabatan Geografi dan Alam Selitar (JGAS), serta pihak Cloudy Taro, yang menambah nilai kepada penganjuran melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam memeriahkan lagi suasana sepanjang kejohanan berlangsung.

Aksi pertandingan bola tampar
Aksi pertandingan futsal
        Aksi pertandingan bola jaring

Selain menguji ketangkasan dan kerjasama berpasukan, Geo Championship ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti fizikal yang menyumbang kepada keseimbangan gaya hidup sihat.

Program ini juga menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan daya saing dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, penglibatan kategori campuran dalam pelbagai acara turut menyokong SDG 5: Kesaksamaan Gender, dengan memastikan peluang penyertaan yang adil kepada semua tanpa mengira jantina.

Aksi pertandingan bola baling
Acara sukan badminton
Acara larian 100 meter                                

Pada hari pertama, pelbagai acara sukan seperti bola tampar campuran, bola jaring campuran, futsal serta bola baling bagi kategori lelaki dan perempuan telah dijalankan di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dengan penyertaan aktif mahasiswa Persatuan Geografi.

Program diteruskan pada sesi petang dengan pertandingan badminton yang melibatkan kategori beregu campuran, beregu perempuan dan beregu lelaki di Arena Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), yang menyaksikan persaingan sengit antara semua peserta.

Acara belon kaki kategori lelaki
Perarakan masuk kontinjen Geonity
Perarakan masuk kontinjen Geoventures

Memasuki hari kedua penganjuran Geo Championship pada 19 April 2026, suasana program terus dipenuhi dengan semangat kebersamaan dan keterujaan apabila pelbagai aktiviti sukaneka serta acara kemuncak dijalankan dengan penglibatan menyeluruh daripada semua pelajar Geografi. Acara diteruskan dengan larian 100 meter bagi kategori lelaki dan perempuan yang menyaksikan persaingan sengit antara peserta.

Program kemudian diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka seperti belon kaki, bowling kelapa, sambut belon air dan tarik tali yang berjaya menceriakan suasana serta menguji kerjasama dalam kalangan peserta.

Perarakan masuk kontinjen Geolaxy
Perasmian oleh Profesor Madya Dr. Kamarul bin Ismail, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan)
Juara keseluruhan , batch Geonity

 Menjelang penghujung program, suasana bertukar menjadi lebih meriah dengan penganjuran acara perbarisan masuk kontinjen setiap batch serta persembahan aerodance yang penuh warna-warni dan kreatif. Setiap batch menampilkan identiti tersendiri melalui gaya perarakan, pemilihan tema yang ceria dan menarik.

Batch Geonity (semester 2) tampil dengan maskot dinosaur yang melambangkan kekuatan dan ketahanan manakala batch Geoventures (semester 4) memukau penonton dengan maskot naga yang sinonim dengan keberanian dan semangat juang. 

Tidak kurang hebatnya, batch Geolaxy (semester 6)  membawa konsep futuristik dengan maskot angkasawan yang ‘menawan galaxy’, diiringi tema berwarna biru yang menggambarkan penerokaan dan aspirasi tanpa batas.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi perasmian yang disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Kamarul bin Ismail, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Fakulti Sains  Kemanusiaan, yang diiringi oleh barisan majlis tertinggi Geo Championship Persatuan Geografi 2025/2026.

Kehadiran beliau bukan sahaja menyerikan majlis, malah menjadi simbol sokongan pihak pengurusan fakulti terhadap penganjuran aktiviti berimpak tinggi dalam kalangan mahasiswa.

Naib johan keseluruhan, batch Geolaxy
Tempat ketiga, batch Geoventures

Seterusnya, sesi penyampaian hadiah berlangsung dengan suasana meriah dengan sorakan dan tepukan daripada para peserta serta penyokong. Setiap pemenang menerima pengiktirafan atas usaha, komitmen dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan. Bagi kategori keseluruhan, batch Geonity telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan Geo Championship 2026 dengan kutipan sebanyak 88 mata, hasil daripada prestasi cemerlang dan konsisten yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Kedudukan naib johan pula disandang oleh batch Geolaxy dengan jumlah 83 mata, manakala batch Geoventures pula berada di tempat ketiga dengan kutipan 76 mata. Keputusan ini jelas mencerminkan persaingan sengit antara setiap batch.

Penganjuran program ini jelas membuktikan bahawa mahasiswa Geografi bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam aktiviti kokurikulum yang membina sahsiah dan jati diri mereka. Diharapkan agar program seperti Geo Championship akan terus menjadi platform tahunan yang mampu memperkukuh ukhwah, mencungkil bakat serta melahirkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing pada masa hadapan.