Disediakan oleh: Dr. Mohamad Ihsan Bin Muhamad Ismail & Marilyn Anak Bendict

Gunung Jerai, 19 April 2026 – Program Tanggungjawab Sosial Korporat atau lebih dikenali sebagai (CSR) di Gunung Jerai merupakan satu inisiatif hasil kerjasama antara pihak penganjur dan pensyarah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, iaitu Cikgu Muhamad Anas bin Ahmad Siati. Program ini memberi impak positif kepada alam sekitar serta masyarakat setempat. Para peserta telah berkumpul dan tiba di kaki Gunung Jerai, iaitu di kawasan Titi Hayun, Yan, Kedah sebagai lokasi permulaan program.

Gunung Jerai yang terkenal dengan keindahan semula jadi serta kepelbagaian biodiversiti menjadi lokasi yang amat sesuai untuk pelaksanaan aktiviti pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar. Melalui program ini, para peserta berpeluang mendekati alam semula jadi di samping memahami kepentingan menjaga kelestarian hutan dan keseimbangan ekosistem.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, pengumpulan sampah serta sesi perkongsian ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar. Aktiviti ini bukan sahaja membantu memelihara kebersihan kawasan Gunung Jerai malah meningkatkan kesedaran peserta tentang kesan pencemaran terhadap alam semula jadi. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua peserta juga mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Selain itu, program CSR ini turut memberi peluang kepada peserta untuk menjalankan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah seperti eksplorasi hutan dan pemerhatian biodiversiti. Pengalaman ini membantu meningkatkan pengetahuan tentang flora dan fauna tempatan serta kepentingan keseimbangan ekosistem. Di samping itu, interaksi antara peserta juga mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk nilai kerjasama dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhannya, program CSR di Gunung Jerai bukan sahaja berjaya mencapai objektif pemuliharaan alam sekitar malah membentuk individu yang lebih prihatin terhadap isu kelestarian. Usaha sebegini perlu diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pihak dapat menyumbang kepada penjagaan alam sekitar. Gunung Jerai harus terus dipelihara sebagai warisan semula jadi untuk generasi akan datang.