Disediakan Oleh: Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail dan Meliki Bin Udi,

Pantai Merdeka Kedah (28 April 2026)- Alam sekitar merupakan anugerah yang tidak ternilai dan menjadi asas kepada keseimbangan ekosistem serta kelangsungan kehidupan manusia. Namun, kepesatan pembangunan dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak telah menyebabkan pencemaran semakin berleluasa, khususnya di kawasan pantai. Justeru, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar perlu dipergiat melalui penglibatan aktif masyarakat, termasuk golongan mahasiswa sebagai agen perubahan.

Program kerja lapangan biogeografi yang dijalankan di Pantai Merdeka pada 18 April 2026 melibatkan seramai 39 orang mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Aktiviti ini turut disertai oleh pensyarah dari Jabatan Geografi, iaitu Dr. Ishan bersama Encik Sharil sebagai urusetia. Program ini dilaksanakan dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada usaha pembersihan kawasan pantai.

Sekitar jam 4.00 petang, para mahasiswa dan mahasiswi berkumpul di pinggir pantai bagi sesi taklimat awal. Dalam suasana pantai yang tenang dan nyaman, sesi briefing dijalankan bagi menerangkan objektif program serta tatacara pelaksanaan aktiviti. Seterusnya, pembahagian kumpulan dilakukan dengan membentuk enam kumpulan yang terdiri daripada gabungan mahasiswa lelaki dan perempuan bagi memastikan kerjasama yang seimbang.

Pada jam 4.30 petang, aktiviti pembersihan pantai dimulakan secara serentak dari hujung ke hujung kawasan Pantai Merdeka. Pihak penganjur telah menyediakan plastik sampah serta kelengkapan seperti sarung tangan bagi memudahkan proses pengumpulan sisa. Para peserta dilihat komited menjalankan tugas dengan mengutip pelbagai jenis sampah seperti plastik, botol, dan bahan buangan lain yang mencemarkan persekitaran pantai.

Kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar merupakan elemen penting yang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Aktiviti seperti ini bukan sahaja membantu memelihara kebersihan kawasan pantai, malah menyemai nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, kelestarian ekosistem dapat dikekalkan dan keseimbangan alam dapat terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Sebagai kesimpulan, program CSR seperti ini bukan sekadar aktiviti gotong-royong semata-mata, tetapi merupakan satu manifestasi komitmen mahasiswa dalam memelihara alam sekitar. Jika usaha sebegini diteruskan secara konsisten dan meluas, ia mampu melahirkan masyarakat yang lebih peka, bertanggungjawab dan berdaya saing dalam memastikan kelestarian alam terus terjamin. Alam sekitar bukan warisan nenek moyang semata-mata, tetapi amanah yang perlu dipelihara untuk generasi masa hadapan.