Oleh: Nurin Syura Abdul Majid

TANJONG MALIM, 8 Mei 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) baru-baruini mencipta penanda aras baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara dan membuktikan kredibiliti kepimpinan mahasiswa di peringkat nasional menerusi penganjuran Majlis Perasmian Program Generasi AI Madani yang berlangsung gilang-gemilang.

Inisiatif berimpak tinggi ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama erat Majlis Pengukuhan MADANI Universiti Awam Malaysia, berjaya menghimpunkan delegasi kepimpinan mahasiswa daripada 10 buah universiti awam di seluruh negara bagi mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat.

Majlis perasmian gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Harun Aminurrashid itu telah disempurnakan oleh Kolonel (K) Profesor Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Pengerusi Majlis Pengukuhan MADANI Universiti Awam Malaysia. Suasana di Dewan Harun Aminurrashid gamat dengan simbolik perasmian bertemakan teknologi, yang menggambarkan kesediaan mahasiswa memeluk era digital tanpa mengetepikan nilai murni.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa mahasiswa perlu memiliki ‘resiliensi’ atau daya tahan yang tinggi untuk menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan integriti kemanusiaan. Beliau turut memuji langkah proaktif MMKHAR dan UPSI dalam memulakan naratif AI di peringkat akar umbi mahasiswa.

“AI bukan sekadar alat, tetapi satu revolusi. Persoalannya, adakah kita melihatnya sebagai anugerah yang memudahkan atau fitnah yang menghancurkan nilai kemanusiaan di akhir zaman? Mahasiswa Madani harus bijak mengemudi arus ini,” ujar beliau ketika merasmikan program tersebut.

Sejurus selepas majlis perasmian, agenda diteruskan dengan sesi Wacana AI Madani yang membincangkan topik kontroversial, “AI: Anugerah atau Fitnah Akhir Zaman?”. Kupasan mendalam tersebut memberikan perspektif baharu kepada para peserta tentang etika penggunaan teknologi dalam kerangka Malaysia Madani.

Program ini turut mendapat maklum balas positif daripada para peserta. Salah seorang wakil mahasiswa, Muhamad Izzat Hambali Azlam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam berkata, pengisian program ini berjaya menjawab kegusaran mereka mengenai ancaman AI terhadap pasaran kerja masa hadapan.

“Sebelum ini kami melihat AI sebagai ancaman, tetapi hari ini MMKHAR dan UPSI telah membuka dimensi baharu bahawa dengan resiliensi dan etika yang betul, AI adalah alat pemerkasaan, bukannya pengganti manusia,” kata beliau.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Aniq Daud, program ini bukan sekadar sebuah majlis simbolik, tetapi merupakan titik pemulaan dalam melahirkan ‘Insan Resilien’ yang bukan sahaja mahir dalam literasi digital, malah teguh dengan jati diri nasional.

Kehadiran wakil daripada 10 buah universiti awam membuktikan wujudnya solidariti yang kuat dalam kalangan mahasiswa Malaysia untuk menguasai teknologi masa hadapan secara kolektif. Impak program ini dijangka akan mencetuskan gelombang kesedaran yang lebih luas di kampus-kampus lain di seluruh Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia yang bersedia berdepan dengan ekonomi digital tanpa mengetepikan nilai moral.