Gambar usahawan pelajar bersama Dr. Mohamad Hafiz Bin Haji Rosli CPA (Aust), A.M. di makmal EXA, Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSIGambar usahawan pelajar bersama Dr. Mohamad Hafiz Bin Haji Rosli CPA (Aust), A.M. di makmal EXA, Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Oleh: Aida Ismail & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Tanjong Malim, 20 Mei 2026 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Kursus Penyediaan Rekod & Penyata Kewangan UPSIpreneur Kios bertempat di Makmal EXA, Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan peniaga kios pelajar UPSI.

Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada para peniaga kios pelajar UPSI mengenai kaedah penyediaan rekod kewangan dan penyata kewangan yang sistematik serta teratur dalam pengurusan perniagaan. Kursus ini juga bertujuan membantu pelajar meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan agar lebih cekap dalam mengurus hasil jualan dan perbelanjaan perniagaan.

Dua orang pensyarah daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi telah dijemput sebagai penceramah utama iaitu Dr. Mohamad Hafiz Bin Haji Rosli CPA (Aust), A.M., yang menyampaikan tajuk berkaitan penyediaan rekod kewangan, serta Dr Mohd Danial Afiq Bin Khamar Tazilah yang berkongsi ilmu mengenai penyediaan penyata kewangan.

Gambar usahawan pelajar bersama Dr Mohd Danial Afiq Bin Khamar Tazilah di makmal EXA, Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
 

Sepanjang kursus berlangsung, peserta diberikan penerangan berkaitan kepentingan rekod kewangan yang teratur, teknik merekod transaksi perniagaan, serta penyediaan penyata kewangan bagi membantu mereka memahami aliran kewangan sesebuah perniagaan dengan lebih jelas.

Program ini terbuka kepada semua peniaga kios pelajar UPSI dan mendapat sambutan yang baik daripada peserta yang hadir. Penganjuran kursus seperti ini diharap dapat melahirkan usahawan pelajar yang lebih berpengetahuan, berdaya saing dan mampu mengurus kewangan perniagaan dengan lebih profesional pada masa hadapan.