Oleh: Muhammad Haikal Husainy, Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin
Tanjong Malim, 17 Mei 2026 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya manganjurkan Program Motivasi Al-Falah:Kejayaan Dunia dan Akhirat.
Program ini bertujuan untuk memberikan panduan, meningkatkan kesedaran serta memupuk semangat dalam kalangan mahasiswa/i untuk menuntut ilmu secara berkat, selaras dengan usaha memastikan pendidikan yang berkualiti,inklusif dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.Selain itu, program ini juga menggalakkan mahasiswa/i untuk mengamalkan ilmu yang diperoleh dengan penuh tanggungjawab dan integriti dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kepada masyarakat yang sejahtera dan beretika.



Program ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, iaitu Encik Izzul Islam bin Mohd Shuhaimi, atau lebih dikenali sebagai Inche Lebah, seorang penulis buku dan penceramah motivasi. Penyampaian beliau yang jelas, menarik serta berkesan berjaya mengekalkan fokus dan menarik minat para peserta sepanjang program berlangsung. Program ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran hampir 120 orang mahasiswa/i. Kehadiran tersebut mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap kepentingan menuntut ilmu secara berkat serta mengamalkan ilmu yang diperoleh dengan penuh tanggungjawab.
Sepanjang sesi perkongsian berlangsung, penceramah telah menyampaikan pelbagai pengisian berkaitan kepentingan membina kejayaan yang seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat. Pengisian yang disampaikan turut memberi penekanan terhadap aspek pembentukan sahsiah, pengurusan diri, kekuatan mental serta kebergantungan kepada Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar dan individu Muslim.
Bagi mewujudkan suasana program yang lebih menarik dan kondusif, penceramah turut mengendalikan beberapa aktiviti berbentuk permainan interaktif yang melibatkan penyertaan aktif para peserta. Aktiviti tersebut bukan sahaja berjaya menceriakan suasana sepanjang program berlangsung, malah menjadi medium yang berkesan dalam mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat kerjasama serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi memberikan ruang kepada para peserta untuk mengemukakan persoalan serta berkongsi pandangan berkaitan topik yang dibincangkan. Penceramah telah memberikan penerangan yang jelas, bernas dan mudah difahami terhadap setiap persoalan yang diajukan oleh peserta. Sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan aktif peserta, penceramah turut menghadiahkan buku hasil penulisannya kepada peserta yang bertanyakan soalan serta menunjukkan penglibatan yang baik sepanjang sesi berlangsung.



Secara keseluruhannya, Program Motivasi Al-Falah: Kejayaan Dunia dan Akhirat telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Program ini bukan sahaja memberikan suntikan motivasi dan inspirasi kepada para peserta, malah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membentuk peribadi Muslim yang cemerlang dari aspek akademik, akhlak dan spiritual. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berdaya saing serta mampu mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
