Oleh : Che Muhammad Hanif Che Zahari, Ummie Yasirah Ridzuan, Dr. Muhammad Nazirul Mohd Sabri dan Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin
Masjid Al-Mursyidin, 3 Jun 2026- Seramai dua puluh satu orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghadiri Program Pengajian Kitab Safinah siri 8 di bahagian koridor masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam, Waqaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sadaqah (WEZAS), Al-Mursyidin Club, Kolej Ungku Omar, Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Persatuan Bahasa Arab dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA).
Program Pengajian Kitab Safinah merupakan satu inisiatif ilmiah yang signifikan dalam usaha memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan mahasiswa/i UPSI, khususnya di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI). Berteraskan pendekatan pengajian Safinah yang berperingkat dan sistematik, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui tujuh siri terdahulu pada 7 dan 14 November 2025, 9 dan 16 Disember 2025 serta 8 dan 15 Januari 2026. Kesinambungan pengajian ini diteruskan lagi melalui sesi seterusnya pada 8 April dan 3 Jun 2026, dengan penekanan kepada pembinaan asas ilmu yang lebih mantap dan berstruktur.


Program pengajian Kitab Safinah ini memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk menambah kefahaman terhadap asas-asas ilmu agama secara sistematik melalui bimbingan yang berterusan. Program ini juga menjadi medium untuk memupuk minat terhadap pengajian kitab serta menggalakkan budaya menuntut ilmu dalam kalangan mahasiswa/i. Di samping itu, pengajian ini juga membantu mahasiswa/i memahami hukum-hakam Islam dengan lebih jelas serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Melalui sesi Program Pengajian Kitab Safinah Siri 8 yang berlangsung pada 3 Jun 2026, tumpuan perbincangan telah diberikan kepada aspek thaharah (bersuci) mengikut sistem perundangan Islam, khususnya mengenai perkara-perkara yang membatalkan tayammum serta kaedah penyucian najis. Pembelajaran fasa ini memperincikan lima faktor utama yang membatalkan tayammum, termasuklah keluarnya sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur), hilang akal, bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita dewasa yang bukan mahram, menyentuh qubul atau dubur secara langsung, serta murtad.
Di samping situasi khusus apabila seseorang mendapati atau menyangka adanya air sebelum solat dimulakan. Selain itu, aspek pembersihan daripada najis turut ditekankan melalui kaedah penyucian benda yang terkena najis serta klasifikasi cara membersihkan tiga jenis najis utama, iaitu najis mughallazah (berat), mutawassitah (sederhana), dan mukhaffafah (ringan). Sebagai contoh, sesi ini memperincikan kaedah menyucikan najis mughallazah seperti anjing, yang memerlukan basuhan sebanyak tujuh kali dengan air mutlak dan salah satunya wajib dicampur dengan tanah (samak).
Selain itu, sesi pengajian ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab interaktif bagi memberi ruang kepada mahasiswa/i untuk mengemukakan persoalan, mendapatkan penjelasan lanjut
serta memperkukuh kefahaman terhadap topik yang dibincangkan. Pendekatan ini secara tidak langsung menggalakkan penglibatan aktif peserta dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik serta berkesan.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu dan sahsiah mahasiswa/i UPSI, malah ia menjadi sebuah platform yang memperkukuh budaya keilmuan, semangat ukhuwah sekali gus melahirkan mahasiswa yang cinta akan ilmu agama dan mempunyai usaha untuk meningkatkan kualiti diri untuk menjadi bakal pendidik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik bahkan turut unggul dari segi penghayatan dan amalan islam.
