Oleh: Nisa Aliza Ridzwan, Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin

TANJONG MALIM, 3 Jun 2026– Usaha membudayakan penyelidikan dalam kalangan mahasiswa terus diperkasakan menerusi penganjuran Seminar Penyelidikan Prasiswazah ISMP Pendidikan Islam 4.0 yang dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet ini menghimpunkan pelajar semester tujuh Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Islam bagi membentangkan hasil penyelidikan tahun akhir mereka kepada para penilai.

Penganjuran seminar ini menjadi medan penting kepada mahasiswa untuk mengetengahkan hasil kajian yang telah dijalankan sepanjang tempoh pengajian, di samping menerima pandangan, kritikan membina dan cadangan penambahbaikan daripada para pensyarah serta penilai yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan. Kehadiran pelajar Pendidikan Islam daripada pelbagai semester turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu yang lebih meluas dan bermakna.

Sepanjang seminar berlangsung, pelbagai topik penyelidikan berkaitan Pendidikan Islam dibentangkan, mencerminkan keprihatinan mahasiswa terhadap isu-isu semasa dalam bidang pendidikan, dakwah, akhlak, teknologi pendidikan dan pembangunan modal insan. Kepelbagaian tema kajian yang diketengahkan menunjukkan kemampuan mahasiswa untuk menghubungkan teori akademik dengan realiti masyarakat serta cabaran pendidikan masa kini.

Selain menjadi platform pembentangan akademik, seminar ini turut berperanan dalam meningkatkan keyakinan diri mahasiswa untuk menyampaikan hasil penyelidikan secara profesional. Sesi soal jawab yang berlangsung selepas setiap pembentangan memberi peluang kepada peserta mempertahankan dapatan kajian, menjelaskan metodologi yang digunakan serta mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal. Pengalaman ini secara tidak langsung membantu mahasiswa bersedia menghadapi dunia pendidikan dan penyelidikan yang semakin mencabar.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian ucaptama telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Husna , pensyarah Jabatan Pengajian Islam, UPSI. Dalam ucaptama bertajuk “Adab dan Akhlak: Teras Memperkasa Peranan Pendidikan Islam dalam Pembentukan Insan Sejahtera”, beliau menekankan bahawa pendidikan Islam bukan sekadar proses penyampaian ilmu, bahkan berperanan membentuk sahsiah, adab dan akhlak yang menjadi asas kepada kesejahteraan individu serta masyarakat. Beliau turut mengingatkan para mahasiswa/i agar sentiasa menghayati nilai integriti, amanah dan akhlak mulia dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan ilmu, agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan.

Penganjuran Seminar Penyelidikan Prasiswazah ISMP Pendidikan Islam 4.0 membuktikan komitmen berterusan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu melalui budaya penyelidikan yang berkualiti. Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi platform berimpak tinggi dalam membentuk generasi pendidik Islam yang berfikiran kritis, berwawasan dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.