Oleh: Ahmad Hayyan Na’im Hamzah, Putri Erra Elyana Binti Sharizall& Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail

TANJUNG MALIM, 6 Jun 2026 — Program Eco Warrior Fun Run 2026 merupakan sebuah program yang dilaksanakan di bawah Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui kerjasama strategik bersama EcoLead, Low Carbon Education and Circular Economy Research Centre, Fakulti Sains Kemanusiaan.

Dibawah arahan Pengarah Program, Nik Muhammad Amar Fitri Nik Mohd Rosdi, Eco Warrior Fun Run 2026 telah berlangsung pada 6 Jun 2026 bertempat di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI. Program Eco Warrior Run 2026 yang berlangsung pada malam ini merupakan salah satu aktiviti di bawah Sambutan Hari Bumi Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026.

Aktiviti senamrobik sebelum bermula larian
Aktiviti senamrobik sebelum bermula larian
Perasmian oleh Dr. Abu Zarrin Bin Selamat
(Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Sains Kemanusiaan)

 Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa/i dan masyarakat di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian yang santai dan aktif. Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen Fakulti Sains Kemaanusiaan, UPSI dalam menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuhkan agenda pembangunan mampan.

Selain menguji kecergasan, program Eco Warrior Fun Run ini selaras dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dalam menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua, khususnya dalam mengintegrasikan elemen kesedaran sosial dan nilai kemanusiaan terhadap isu alam sekitar. Program ini juga menyumbang kepada SDG 11: Bandar dan Petempatan Manusia Mampan, bagi menyokong pembentukan budaya kampus hijau serta menjadikan petempatan manusia menyeluruh, selamat, kukuh dan mampan secara berterusan.

Penyertaan daripada peserta luar
Kehadiran peserta dari Teluk Intan, Perak
Pelepasan peserta

Di samping itu, penglibatan aktif seramai 103 orang peserta dalam aktiviti fizikal ini turut menyokong SDG 13: Tindakan Terhadap Iklim, dengan mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim serta kesannya melalui amalan gaya hidup aktif yang mesra alam. Melalui larian santai ini, mesej SDG 15: Kehidupan di Darat juga dapat disampaikan secara praktikal bagi mendorong komuniti memelihara, memulihara dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem darat serta menghentikan kehilangan biokepelbagaian.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Sainss Kemanusiaan,  Dr. Abu Zarrin bin Selamat dalam ucapannya menekankan kepentingan penerapan nilai kecintaan terhadap bumi dalam kalangan mahasiswa/i sebagai asas pembentukan sahsiah diri yang berkualiti. Beliau turut menyatakan bahawa program seperti Eco Warrior Fun Run 2026 merupakan satu inisiatif yang sangat baik kerana menggabungkan elemen kesihatan, kesedaran sosial dan pendidikan nilai alam sekitar dalam satu platform yang santai dan inklusif.

Selain itu, beliau juga menyeru agar mahasiswa/i terus memainkan peranan aktif sebagai agen perubahan dalam memupuk budaya kampus hijau serta menjaga kelestarian alam dalam kehidupan seharian. Beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan secara berterusan dan mendapat sokongan daripada semua pihak demi melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Program Eco Warrior Fun Run 2026 diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang berfokus kepada elemen kesihatan, kecergasan serta kesedaran kelestarian. Aktiviti utama program ialah larian santai yang disertai oleh seramai 103 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i, kakitangan UPSI, serta komuniti dalam dan luar daripada Tanjong Malim ini dijadikan sebagai simbolik kepada gaya hidup sihat dan komitmen terhadap penjagaan ekosistem bumi.

Seterusnya, sesi penyampaian hadiah berlangsung dengan suasana meriah dengan sorakan dan tepukan daripada para peserta. Setiap pemenang menerima pengiktirafan atas usaha, komitmen dan kecergasan fizikal yang ditunjukkan sepanjang larian. Bagi kategori podium, penyerahan hadiah wang tunai telah diberikan secara rasmi kepada pemenang tempat pertama, tempat kedua, dan tempat ketiga bagi kedua-dua kategori iaitu kategori Lelaki dan kategori Perempuan terawal yang berjaya menamatkan larian.

Pemenang tempat pertama bagi kategori lelaki
Pemenang tempat pertama bagi kategori wanita
 AJK pelaksana program

Suasana program diserikan lagi dengan slot hadiah cabutan bertuah sebelum diakhiri dengan sesi fotografi bersama barisan tetamu kehormat. Secara keseluruhannya, pengisian program ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kesihatan fizikal, malah turut memperkaya pengetahuan peserta serta menyemai nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti.

Secara keseluruhannya, Program Eco Warrior Fun Run 2026 berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dengan berkesan. Program ini bukan sahaja memberi impak positif dari segi kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa/i dan masyarakat. Kerjasama erat antara semua pihak termasuk penganjur dan rakan strategik telah memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium berterusan dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab serta peka terhadap isu kelestarian dalam masyarakat.