Oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim – 23 Jun 2026. Berita gembira tiba tiba muncul ketika Bengkel Pengindeksan MyCITE & Indeks Tambahan Directory of Open Access Journals (DOAJ) Bersama Perunding Jurnal UPSI pada hari ini apabila Jurnal Peradaban Melayu menerima pengindeksan tambahan DOAJ.
Menurut Timbalan Pengarah (Penarafan & Pengantarabangsaan), Pejabat Karang Mengarang (PKM), Dr Laili Farhana Md Ibharim, wakil Jurnal Peradaban Melayu, Dr Md Zahril Nizam Md Yusoff ketika menyemak emel jurnal mereka, terus mendapat maklumat mengenai kejayaan manis ini.
Sewaktu pengumuman dibuat, semua peserta bengkel sedang mengemaskini maklumat permohonan DOAJ masing-masing sebelum dihantar secara rasmi. Antara jurnal yang berjaya mengemukakan permohonan DOAJ ketika sesi berlangsung termasuklah Journal Science and Mathematics letters (JSML) dan juga PENDETA, Journal of Malay Language, Education and Literature.



Terdahulu, Perunding Jurnal UPSI, Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan (UMPSA), membimbing peserta bagi tatacara permohonan DOAJ selain memberi panduan lapan (8) kriteria utama permohonan DOAJ. Pada sebelah petangnya pula, beliau membimbing peserta bagi pengindeksan MyCITE dan Scopus.
Sebelum itu, Dr Laili Farhana Md Ibharim yang mewakili Pengarah PKM mengalukan kehadiran Dr Ramadhansyah yang baharu sahaja disambung pelantikannya sebagai Perunding UPSI pada Mei lalu.
“Pada hari ini matlamat PKM untuk menghantar permohonan bagi pengindeksan DOAJ untuk jurnal-jurnal UPSI. DOAJ ini penting untuk keterlihatan jurnal-jurnal UPSI” kata Dr Lali.



Menurut Dr Lalili lagi, pengalaman UPSI dalam permohonan terdahulu, sekiranya jurnal mendapat pengindeksan DOAJ, akan mudah mendapat pengindeksan Scopus.
“DOAJ melihat kepada pengurusan jurnal manakala Scopus dan MyCITE melihat kepada produk atau hasil jurnal itu sendiri” tambah Dr Lali lagi.
Sementara itu, Ketua Seksyen Jurnal yang juga Timbalan Pendaftar Kanan, PKM, Ahmad Janatul Firdaus berkata lebih 15 orang editor atau wakil hadir ke sesi ini selain staf Seksyen Jurnal sendiri. Sesi ini berlangsung pagi dan petang di Bilik Seminar, Perpustakaan Tuanku Bainun.
