Oleh: Nur Amalin Izzah Zaharruddin
Tanjong Malim, 21 Jun 2026 – Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK), Fakulti Teknikal & Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program UPSI Barber Battle di Dewan SITC, UPSI. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini merupakan inisiatif Exco Ekonomi dan Keusahawanan PERMATEK sidang 2025/2026 dan kalobarasi bersama Barberbus bagi memupuk keyakinan diri, disiplin serta meningkatkan daya saing yang sihat dalam kalangan peserta.
Aktiviti program dimulakan dengan taklimat tentang syarat dan peraturan pertandingan potong rambut kepada para peserta. Pertandingan barber kemudiannya dijalankan mengikut kategori yang telah ditetapkan dengan penyertaan 12 peserta daripada pelbagai latar belakang. Para peserta menunjukkan kemahiran, kreativiti dan komitmen yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung. Setiap peserta mempamerkan teknik guntingan, kemasan serta gaya potongan yang kemas dan menarik mengikut tema yang ditetapkan. Pertandingan ini turut menyerlahkan bakat peserta dalam menghasilkan potongan rambut yang berkualiti serta memenuhi kehendak pelanggan dan penilaian juri.


Aktiviti program diakhiri dengan ketibaan Penasihat PERMATEK yang turut memeriahkan majlis penutupan program. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengacara majlis, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak, diikuti dengan bacaan doa. Seterusnya, Penasihat PERMATEK menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan mengasah kemahiran, kreativiti dan sikap profesional dalam bidang barbering sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan pada masa hadapan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian saguhati kepada para juri sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka sepanjang pertandingan berlangsung. Seterusnya, hadiah disampaikan kepada para pemenang pertandingan barber mengikut kategori yang telah ditetapkan. Program diakhiri dengan sesi fotografi bersama para peserta, juri, urus setia dan tetamu jemputan sebagai kenang-kenangan.
Secara keseluruhannya, Program Pertandingan Barber 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta menjadi platform yang berkesan dalam mencungkil bakat, meningkatkan kemahiran dan memupuk kreativiti peserta dalam bidang dandanan rambut. Selain itu, program ini turut mengeratkan hubungan silaturahim, meningkatkan keyakinan diri peserta serta memberi pendedahan kepada mereka mengenai standard dan etika profesional dalam industri barbering.
Kesimpulannya, Program Pertandingan Barber 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen kemahiran, kreativiti dan pembangunan bakat dalam satu platform yang bermanfaat. Pertandingan yang dianjurkan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang dandanan rambut, malah turut menjadi medium untuk menggalakkan perkongsian ilmu serta pengalaman antara peserta.
Program ini juga berjaya mewujudkan suasana yang positif dan kompetitif melalui persaingan yang sihat, sekali gus meningkatkan keyakinan diri serta semangat profesionalisme dalam kalangan peserta. Selain itu, penglibatan para juri, urus setia dan tetamu jemputan telah menyumbang kepada kelancaran program serta mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.


Oleh itu, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu, meningkatkan kemahiran peserta serta memberi pendedahan yang lebih luas terhadap peluang dan perkembangan dalam industri barbering. Program ini juga berpotensi menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan individu yang berkemahiran, kreatif dan berdaya saing.
