Oleh: Nur Amalina Diyana Azman, Dr. Nor Azian Aini Mat, Muhammad Amirul Irfan Abdul Ghani, Anis Solehah Anuar, Siti Nabilah Che Nordin
Tanjong Malim, 26 Jun 2026 – Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melaksanakan Kolokium Projek Penyelidikan Tahun Akhir (FYP) Jabatan Matematik yang berpaksikan agenda pemerkasaan kualiti graduan di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Nurul Akmal Mohamed sebagai penyelaras FYP.
Program yang berlangsung pada hari ini bertempat di Student Lounge, Blok 1 dan Bilik Seminar Matematik, Blok 2 telah dihadiri secara rasmi oleh seramai 70 orang mahasiswa semester 7 dari Jabatan Matematik terdiri daripada pelajar program AT14, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan AT48, Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan.


Dalam sesi pameran, pembentangan dan penjurian yang berlangsung bermula jam 9.00 sehingga 11.00 pagi, fokus diberikan kepada kepentingan mendedahkan pelajar kepada budaya penyelidikan dalam bidang Matematik dan Pendidikan. Kemudian, mesyuarat penjurian diteruskan pada jam 11.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari sebelum para peserta berehat bagi makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat.
Pada jam 3.00 petang, satu Majlis Penutupan di Bilik Seminar Fakulti telah dirasmikan oleh Profesor Madya Chm. Dr. Noorshida Mohd Ali, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains dan Matematik. Selepas ucapan perasmian penutupan oleh beliau, acara diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para pemenang di bawah 2 kategori, iaitu Penyelidikan Inovasi dan Penyelidikan Bukan Inovasi.
Profesor Madya Chm. Dr. Noorshida Mohd Ali turut menitipkan pesanan agar setiap pelajar memanfaatkan anugerah kolokium ini sebagai satu bakat mereka ke pertandingan inovasi pada peringkat yang lebih tinggi.


Nur Amalina Diyana Azman, pengarah program Kolokium Penyelidikan Projek Tahun Akhir Jabatan Matematik juga menyifatkan kolokium ini merupakan medan yang amat bermakna bagi semua peserta, selaku mahasiswa tahun akhir.
“Di sinilah segala usaha, pengorbanan masa, dan air mata sepanjang menyiapkan projek penyelidikan ini diraikan. Sepanjang proses ini, kita tidak sekadar diuji dengan formula dan teori matematik tetapi diasah untuk berfikir secara kritis, tabah menghadapi cabaran intelektual, dan matang dalam menyelesaikan masalah,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, penganjuran Kolokium Projek Penyelidikan Tahun Akhir ini diharapkan dapat memacu motivasi pelajar semester 7 untuk menerbitkan hasil kajian mereka dalam platform prosiding berprestij.
Pihak fakulti menaruh harapan besar agar inisiatif kolokium ini mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam disiplin matematik, malah kompeten dalam mewujudkan peluang bekerja secara berorganisasi melalui penganjuran program yang berkualiti.
