Tanjong Malim, Perak – Majlis Watikah Pelantikan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) Sidang 2026/2027 telah berlangsung dengan penuh istiadat sebagai simbolik penyerahan amanah kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal menerajui organisasi mahasiswa bagi sesi 2026/2027.
Majlis tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail, serta turut dihadiri oleh barisan felo kolej, barisan pentadbiran Kolej Awang Had Salleh dan mantan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh Sidang 2025/2026. Kehadiran semua pihak mencerminkan sokongan padu terhadap kesinambungan kepimpinan mahasiswa dalam memperkasakan pembangunan warga kolej.



Majlis turut menyaksikan pelantikan Ketua Felo Kolej Awang Had Salleh yang baharu, En. Iman Iskandar bin Bahaman. Pelantikan beliau diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antara pihak pengurusan kolej dan kepimpinan mahasiswa dalam mewujudkan persekitaran kolej yang lebih kondusif, inklusif dan cemerlang. Sebagai tanda penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu, para hadirin dipersembahkan tayangan video montaj yang memaparkan perjalanan, pencapaian serta sumbangan MMKAHS Sidang 2025/2026 sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Tayangan tersebut bukan sahaja mengimbau pelbagai kenangan bermakna, malah menjadi simbol penghargaan atas dedikasi dan komitmen yang telah dicurahkan dalam menjaga kebajikan serta mengharumkan nama Kolej Awang Had Salleh.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran identiti rasmi MMKAHS Sidang 2026/2027, yang memperkenalkan nama sidang baharu, iaitu Sidang Rayon, bersama logo rasmi, visi dan misi organisasi. Berteraskan tagline “Sinar Kepimpinan Mahasiswa”, Sidang Rayon membawa aspirasi untuk melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berintegriti, progresif, berdaya saing dan sentiasa menjadi cahaya yang menerangi arah tuju warga Kolej Awang Had Salleh.
Kemuncak majlis menyaksikan berlangsungnya Majlis Watikah Pelantikan MMKAHS Sidang 2026/2027 melalui bacaan ikrar oleh barisan Majlis Mahasiswa sebagai lambang penerimaan amanah dan tanggungjawab yang bakal digalas sepanjang sesi kepimpinan. Lafaz ikrar tersebut mencerminkan komitmen seluruh barisan MMKAHS untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi, menjunjung nilai integriti, memperkukuhkan kebajikan mahasiswa serta memartabatkan nama Kolej Awang Had Salleh.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan dan simbol permulaan kepada lembaran baharu kepimpinan mahasiswa. Diharapkan barisan MMKAHS Sidang 2026/2027 akan terus mengorak langkah dengan semangat Sidang Rayon dalam merealisasikan aspirasi “Sinar Kepimpinan Mahasiswa”. Seterusnya menjadi pemacu kecemerlangan dan wadah penyatuan seluruh warga Kolej Awang Had Salleh.

