Oleh : Prof. Madya Dr. Zuraidah Zainol dan Noraini Aminuddin

TANJUNG MALIM, 30 Julai 2026 – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2026 (SPK 2026) secara dalam talian pada 30 Julai yang lalu, bermula 9.00 pagi di Blok 10, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Kampus Sultan Azlan Shah.

Mengangkat tema “Penyelidikan Beretika dan Berintegriti dalam Era Disrupsi Teknologi: Pendekatan Berteraskan Manusiawi dalam Inovasi Pendidikan dan Teknologi”, SPK 2026 memperkasakan peranannya sebagai wacana strategik yang menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, pelajar pasca siswazah, serta pengamal industri untuk berkongsi hasil penyelidikan, idea baharu dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor ketika merasmikan SPK 2026 berkata, sepanjang tempoh 13 tahun, seminar ini telah berkembang menjadi platform kebangsaan yang menyatukan para sarjana serta merapatkan hubungan antara dunia akademik dan industri.

Beliau turut menekankan bahawa perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan automasi memerlukan benteng etika akademik yang kukuh.  “Kita berada pada era di mana AI dan teknologi digital menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Walaupun ia memudahkan capaian maklumat, cabaran etika mesti ditangani dengan teliti agar kemajuan ini tidak meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan,” jelas beliau.

“kehadiran Pengucaptama dan barisan penceramah pada hari ini amat bermakna. Kesudian tokoh-tokoh ini untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka merupakan satu penghormatan buat SPK 2026. Saya percaya, melalui perkongsian ini nanti, kita akan mendapat panduan yang lebih jelas tentang bagaimana integriti akademik dapat dipertahankan. Kita juga akan melihat cara praktikal untuk berhadapan dengan kemajuan teknologi masa kini tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan”, ujar beliau lagi.

Sementara itu, Dekan FPE, Prof. Madya Dr. Hartini Jaafar menyatakan komitmen fakulti dalam menyokong aspirasi UPSI sebagai universiti bitara menerusi penerbitan berimpak tinggi. Beliau menegaskan bahawa aspek integriti perlu terus dipelihara agar pembangunan teknologi memberi manfaat secara bertanggungjawab kepada masyarakat.

Seminar ini turut menampilkan tokoh-tokoh berpengalaman sebagai penyampai ucaptama iaitu Presiden, Malaysian Institute of Accountants (MIA), Dato’ Saniza Said dan Dekan Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Muhammadiyah Purwokerto, Indonesia, Profesor Dr Naelati Tubastuvi. Turut memeriahkan seminar ini, sesi perkongsian yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Neuramerge Sdn Bhd, Puan Razlinda Rahmat.

Pengerusi Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2026, Prof. Madya Dr Hazianti Abdul Halim berharap agar seminar ini menjadi platform strategik untuk membincangkan isu semasa, berkongsi dapatan penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama antara akademia dan industri disamping dapat mencetuskan idea baharu yang akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara lestari.

Selain itu, SPK 2026 turut memberi nilai tambah yang signifikan, khususnya buat pelajar pascasiswazah, melalui peluang penerbitan artikel dalam jurnal berstatus MyCite bagi memenuhi syarat pengajian.

Penganjuran SPK 2026 diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik, memantapkan budaya penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkualiti sekali gus menyokong kecemerlangan universiti dalam penarafan seperti MYRA, SETARA dan QS Ranking.