TANJONG MALIM, 20 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah AsTEN Journal of Teacher Training Education (JTE) Editors’ Planning Workshop yang berlangsung dari 19 hingga 22 Julai 2026 di Titiwangsa 4, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Bengkel antarabangsa ini menghimpunkan editor dan ahli akademik dari lima negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam. Penganjurannya bertujuan memperkukuh hala tuju strategik AsTEN JTE, meningkatkan mutu pengurusan editorial serta memperluas kerjasama ilmiah antara institusi pendidikan guru di rantau ini.

UPSI diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Wong Kung Teck dan Dr. Anis Diyana binti Halim. Delegasi Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) pula terdiri daripada Prof. Dr. Ahmad Bukhori Muslim dan Dr. Rini Solihat.

Philippine Normal University (PNU) diwakili oleh Assoc. Prof. Dr. John Carlo M. Ramos, Dr. Marie Paz E. Morales, Dr. Adonis P. David dan Dr. Adelyne C. Abrea. Turut hadir ialah Dr. Jessie Png Lay Hoon dari National Institute of Education (NIE), Nanyang Technological University (NTU), Singapura, serta Dr. Hoang Mai Khanh dari University of Social Sciences and Humanities (USSH), Vietnam.

Sepanjang bengkel, para peserta membincangkan status semasa dan hala tuju strategik AsTEN JTE, menyemak dasar editorial dan piawaian penerbitan serta meneliti kaedah penambahbaikan aliran kerja editorial dan proses semakan rakan sebaya. Bengkel ini turut memberikan tumpuan kepada penyediaan pelan tindakan dan hala tuju editorial jurnal.

Perbincangan pada hari kedua memfokuskan peluang kerjasama masa hadapan antara institusi anggota AsTEN serta perancangan strategik pembangunan JTE bagi tempoh 2026 hingga 2028. Para peserta juga dijadualkan menyediakan resolusi bengkel dan pelan tindakan editorial sebagai panduan kepada perkembangan jurnal pada masa hadapan.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta menyokong penerbitan ilmiah yang berkualiti dan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan guru. Hasil bengkel diharapkan dapat meningkatkan keterlihatan AsTEN JTE dan memperkukuh kedudukannya sebagai wadah perkongsian penyelidikan pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.