Oleh: Mohd Faiz Zabri
KOTA KINABALU, 4 Ogos 2026 – Semangat berpasukan, disiplin dan ketahanan fizikal menjadi kunci kejayaan 12 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila berjaya menamatkan ekspedisi pendakian Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Ogos 2026.
Ekspedisi yang disertai tujuh staf dan lima pelajar itu diketuai oleh Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad, manakala Encik Mohd Zulkhairi bin Baharin bertindak sebagai pengurus ekspedisi.
Persiapan bagi ekspedisi tersebut telah dirancang sejak Oktober 2025 melalui beberapa siri latihan pendakian di Bukit Kutu, Gunung Nuang, Gunung Angsi dan Gunung Gap Gus. Latihan berkenaan membantu peserta meningkatkan kecergasan, ketahanan stamina dan kesiapsiagaan mental sebelum berdepan cabaran sebenar di Gunung Kinabalu.
Menurut Ts. Dr. Megat Azrin, perjalanan bermula dari Timpohon Gate pada 3 Ogos dengan pendakian sejauh kira-kira enam kilometer menuju ke Panalaban.
“Kami mengambil masa sekitar lima jam untuk tiba di Panalaban. Selepas berehat dan membuat persiapan, pendakian disambung pada jam 2.45 pagi, 4 Ogos menuju ke Low’s Peak sejauh kira-kira tiga kilometer,” katanya.
Pasukan berjaya tiba di Low’s Peak pada jam 5.40 pagi sebelum memulakan perjalanan turun pada jam 7.00 pagi. Selepas kembali ke Panalaban, peserta meneruskan perjalanan ke Timpohon Gate dan tiba sekitar jam 4.00 petang.
“Pendakian ini benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental. Laluan yang mencabar memerlukan setiap peserta mengurus tenaga dengan baik serta saling membantu antara satu sama lain,” kata Ts. Dr. Megat Azrin.


Sementara itu, Encik Mohd Zulkhairi berkata kejayaan ekspedisi itu merupakan hasil perancangan yang tersusun serta komitmen peserta sejak fasa latihan.
“Disiplin dan kerjasama pasukan sangat penting sepanjang ekspedisi. Setiap peserta memainkan peranan dalam memastikan perjalanan berjalan lancar dan semua ahli dapat menamatkan pendakian dengan selamat,” katanya.
Kejayaan tersebut menjadi pengalaman bermakna kepada para peserta, khususnya dalam membina daya tahan, keyakinan diri dan hubungan antara staf dengan pelajar.
Ekspedisi itu turut mencerminkan usaha warga UPSI membudayakan gaya hidup aktif serta menyahut cabaran melalui aktiviti rekreasi dan sukan lasak.
