Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
SINTOK, KEDAH – Pasukan memanah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih enam pingat dalam Varsity Archery Championship Siri 1, 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai 2026 di Lapang Sasar Memanah Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Kontinjen UPSI berjaya membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi beberapa acara individu dan berpasukan.
Atlet UPSI, Natasha Mohd Shahruddin, muncul antara peserta paling menyerlah apabila meraih tiga pingat emas. Beliau memenangi pingat emas menerusi acara Compound Individual Wanita, Elimination Round Individu dan Compound Mixed Team.


Satu lagi pingat emas UPSI disumbangkan menerusi acara Compound Men Team. Kejayaan tersebut melengkapkan kutipan empat pingat emas pasukan memanah UPSI dalam kejohanan berkenaan.
Pingat perak pula diraih menerusi acara Compound Women Team, manakala pingat gangsa diperoleh dalam acara Recurve Mixed Team.
Pencapaian tersebut membuktikan kehebatan dan konsistensi atlet memanah UPSI dalam persaingan sukan institusi pengajian tinggi. Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen, disiplin dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet, jurulatih serta pegawai pasukan.
Kejohanan ini turut menjadi medan penting kepada pasukan memanah UPSI untuk menilai tahap prestasi, memperkemas teknik dan memperkukuh persiapan menghadapi Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Ke-7, SUKIPT 7 2026, yang dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Ogos 2026.


Prestasi yang ditampilkan dalam Varsity Archery Championship Siri 1 memberi petunjuk positif terhadap kesiapsiagaan pasukan memanah UPSI. Pasukan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan konsistensi, meningkatkan ketepatan serta memperkukuh aspek mental dan strategi pertandingan sebelum menghadapi saingan yang lebih sengit di SUKIPT 7 2026.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh atlet, jurulatih serta pegawai pasukan memanah UPSI atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada prestasi yang lebih cemerlang dalam kejohanan akan datang.
