Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
SINTOK, KEDAH – Pasukan futsal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempamerkan prestasi membanggakan dalam Grand Final Liga Super, Liga Premier & Karnival Liga Futsal IPT Wanita 2026 pada 23–27 Julai 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Pasukan Futsal Wanita UPSI mencuri tumpuan apabila muncul sebagai naib johan Karnival Futsal IPT Wanita selepas menampilkan aksi konsisten sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir.


Dua pemain UPSI, Stepheny Anak Jimmy yang menyarung jersi nombor 10 dan Nurfarisya Hanim yang memakai jersi nombor 13, turut menyerlah apabila masing-masing mencatatkan enam jaringan sepanjang kejohanan. Catatan tersebut meletakkan mereka sebagai penjaring terbanyak pasukan UPSI dan berada di belakang pemain Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merekodkan sembilan jaringan.
Prestasi cemerlang kedua-dua pemain itu menjadi antara faktor penting dalam membantu Pasukan Futsal Wanita UPSI mara ke perlawanan akhir. Kejayaan tersebut turut membuktikan kemampuan dan daya saing pasukan UPSI ketika berdepan pasukan terbaik daripada institusi pengajian tinggi lain.
Pasukan Futsal Lelaki UPSI pula menamatkan saingan Liga Super Futsal IPT di kedudukan ketujuh. Kedudukan tersebut sekali gus melayakkan pasukan berkenaan untuk beraksi dalam Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Ke-7, SUKIPT 7 2026, yang dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Ogos 2026.


Pencapaian kedua-dua pasukan mencerminkan komitmen, kesungguhan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain, jurulatih serta pegawai pasukan. Kejayaan ini turut menjadi suntikan motivasi kepada kontinjen UPSI dalam membuat persediaan menghadapi SUKIPT 7 2026.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pemain, jurulatih serta pegawai Pasukan Futsal UPSI atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada prestasi yang lebih cemerlang dalam saingan akan datang.
