Oleh: Mohd Faiz Zabri

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos 2026 – Pasukan Golf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih dua pingat emas, tiga pingat gangsa dalam Sukan Antara Universiti Awam Malaysia Kali Ke-46, UniSZA 2026 yang berlangsung di Kuala Terengganu Golf Resort pada 10 hingga 11 Ogos 2026.

Dua pingat emas UPSI diperoleh menerusi acara Individu NETT dan Berpasukan NETT. Kejayaan itu menjadi antara pencapaian terbaik pasukan golf UPSI dalam temasya berkenaan.

Muhammad Firdaus bin Mohd Azihan menjadi tonggak utama pasukan apabila muncul juara acara Individu NETT. Beliau mempamerkan permainan konsisten sepanjang dua hari pertandingan dengan mencatat enam birdie dan mengumpul 42 mata pada hari pertama, sebelum merekodkan dua birdie dengan 38 mata pada hari kedua.

Saingan kategori NETT menghimpunkan seramai 51 pemain daripada 12 universiti awam, sekali gus menjadikan kejayaan Muhammad Firdaus lebih bermakna dalam persaingan yang kompetitif.

Beliau turut membantu UPSI meraih emas acara Berpasukan NETT bersama Ahmad Tarmizi bin Al Shaari, Mohd Muhaiyuddin bin Md Zahid dan Nordin bin Yahaya.

UPSI menambah kutipan pingat menerusi Nordin bin Yahaya yang meraih gangsa acara Individu NETT, manakala Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff memperoleh gangsa dalam acara Individu VIP.

Pasukan Berpasukan VIP UPSI turut meraih pingat gangsa menerusi gandingan Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin dan Profesor Dr. Nordin bin Mamat.

Pengurus Pasukan Golf UPSI, Mohd Faiz bin Zabri, berkata pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen pemain serta semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

“Kejayaan meraih dua pingat emas ini amat bermakna buat pasukan. Setiap pemain menunjukkan fokus, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang dua hari pertandingan, terutama ketika berdepan saingan daripada pemain universiti awam lain,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada Pasukan Golf UPSI untuk terus meningkatkan prestasi dan mencatat kejayaan lebih baik dalam kejohanan akan datang.

Secara keseluruhan, Pasukan Golf UPSI membawa pulang dua pingat emas dan tiga pingat gangsa, sekali gus membuktikan kemampuan pemain UPSI bersaing dalam acara individu serta berpasukan pada peringkat universiti awam Malaysia.