Oleh: En. Muhammad Hafizul Helmi Kamaruddin
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Sinergi TVET-UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah menjayakan Program TVET @OKU – Bakeri & Konfeksioneri. Inisiatif ini dianjurkan khas bagi menyediakan latihan kemahiran profesional dan bimbingan keusahawanan khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang bakeri dan konfeksioneri melalui latihan secara teori dan amali yang merangkumi penghasilan kek, biskut dan roti. Selain menguasai kemahiran penyediaan produk bakeri dan konfeksioneri, peserta turut didedahkan kepada asas pengurusan perniagaan bagi membantu mereka memasarkan hasil produk serta mengembangkan perusahaan secara berdaya maju. Pendekatan ini diharap dapat membuka peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan secara berdikari, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi golongan OKU.
Seramai 18 peserta OKU berumur antara 15 hingga 30 tahun dari daerah Muallim, Perak telah menyertai program yang berlangsung selama lapan hari, bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2026. Daripada jumlah tersebut, 15 orang merupakan peserta baharu, manakala tiga orang lagi mengikuti latihan lanjutan sebagai kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sebagai sokongan kepada pembangunan keusahawanan peserta, setiap peserta turut menerima kit bakeri yang mengandungi ketuhar, pengadun (mixer) dan penimbang digital sebagai modal permulaan untuk mengusahakan perniagaan berasaskan bakeri dari rumah. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu peserta mengembangkan kemahiran yang dipelajari kepada aktiviti penjanaan pendapatan, sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi serta kualiti hidup mereka.
Pengarah Program, Dr. Zahidah binti Ab Latif, berkata program tersebut dilaksanakan bagi memperkasakan golongan OKU melalui penyediaan latihan kemahiran bakeri dan konfeksioneri yang bersifat inklusif serta memenuhi keperluan peserta. Menurut beliau, program ini turut memberi peluang kepada individu yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal untuk memperoleh kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan, sekali gus menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan secara berdikari.
Sementara itu, salah seorang peserta, Megat Faris Naim bin Megat Khawary, 16, menyifatkan penyertaannya dalam program tersebut sebagai peluang berharga untuk mempelajari kemahiran bakeri dan konfeksioneri secara lebih sistematik. Beliau berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dijadikan asas untuk mengembangkan potensi diri serta merealisasikan hasrat menceburi bidang bakeri pada masa hadapan.


Dr. Zahidah turut berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program bagi menghasilkan produk bakeri dan konfeksioneri yang berkualiti serta berdaya saing. Menurut beliau, kemahiran tersebut bukan sahaja berpotensi menjadi sumber pendapatan, malah mampu meningkatkan keupayaan peserta untuk berdikari dan membina kehidupan yang lebih mampan.
Penganjuran program ini turut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang inklusif melalui pemerkasaan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran dan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dalam pembangunan sosioekonomi negara.
