oleh Afifah Adriana Aznan

Tanjong Malim, 15 Ogos 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui Program Mobiliti antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Universitas Muhammadiyah Pontianak (UMP) dan Universitas Mathla’ul Anwar (UNMA), Indonesia.

Program ini melibatkan pelbagai pengisian akademik, kebudayaan, rekreasi dan khidmat komuniti yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta memperluas pemahaman terhadap budaya dan sistem pendidikan Malaysia dan Indonesia. 

Antara aktiviti utama adalah lawatan kampus UPSI, perkongsian penyelidikan dan bengkel penulisan ilmiah, aktiviti Digital Health and Sports Technology, serta sesi perkongsian isu dan cabaran pendidikan STEM di Malaysia dan Indonesia.

Selain pengisian akademik, peserta turut menyertai aktiviti komuniti dan gotong-royong di Masjid Kampung Gesir Tengah, di samping aktiviti rekreasi dan lawatan pendidikan yang memberi pendedahan kepada persekitaran serta masyarakat setempat. 

Program ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia, di samping memupuk jaringan antarabangsa, pertukaran ilmu dan pemahaman silang budaya dalam kalangan mahasiswa.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, program mobiliti ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada peserta terhadap sistem pendidikan dan kehidupan kampus di Malaysia, malah menjadi medium penting dalam membina hubungan akademik dan persahabatan antara mahasiswa serta warga universiti dari Malaysia dan Indonesia. 

“Interaksi yang terjalin sepanjang program turut memperkukuh pemahaman silang budaya, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam persekitaran antarabangsa serta membentuk mahasiswa yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian perspektif”.

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan mahasiswa dan penglibatan komuniti.