SUNGAI PETANI– Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan hubungan bersama Alumni Anak Kandung Suluh Budiman menerusi penganjuran Program Kembara Santuni Alumni Sungai Petani yang berlangsung di The Jerai Hotel Sungai Petani, Kedah.
Program yang menghimpunkan alumni daripada pelbagai generasi ini menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi perkembangan universiti serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga alumni UPSI. Kehadiran para alumni membuktikan bahawa hubungan yang terjalin dengan alma mater terus utuh walaupun telah menamatkan pengajian dan kini berkhidmat dalam pelbagai bidang.
Program ini turut menyaksikan komitmen tinggi dalam kalangan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman apabila terdapat alumni yang sanggup hadir dari Selangor semata-mata untuk menyertai Kembara Santuni Alumni Sungai Petani. Kesungguhan mereka merentasi negeri demi bertemu semula dengan rakan-rakan alumni serta mengukuhkan hubungan dengan UPSI jelas mencerminkan semangat kekitaan dan rasa kasih yang tidak pernah luntur terhadap alma mater.
Mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said menyampaikan aspirasi agar alumni terus memainkan peranan sebagai rakan strategik universiti dalam menyumbang kepakaran, pengalaman dan jaringan profesional demi memperkukuh kecemerlangan UPSI. Menurut beliau, semangat kebersamaan yang terjalin melalui program seperti ini perlu terus dipelihara agar hubungan antara universiti dan alumni terus kukuh.
Dalam ucapannya, Dr. Omar Firdaus bin Mohd Said turut merakamkan penghargaan kepada semua alumni yang hadir serta menyatakan bahawa program ini merupakan antara inisiatif penting Pusat Alumni UPSI dalam mendekati alumni Anak Kandung Suluh Budiman.
Beliau berkata, Program seumpama ini bukan sekadar menjadi wadah mengeratkan silaturahim, malah menjadi ruang untuk berkongsi pengalaman sesama alumni.
Beliau turut menyeru seluruh Alumni Anak Kandung Suluh Budiman agar terus berganding bahu menyokong setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Pusat Alumni UPSI, sekali gus memastikan hubungan yang terjalin kekal utuh, relevan dan memberi manfaat kepada generasi alumni pada masa hadapan.



Sepanjang program berlangsung, para alumni mengikuti sesi perkongsian mengenai perkembangan semasa universiti yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus bin Mohd. Program turut diserikan dengan penyampaian cenderamata sebagai simbol penghargaan kepada para alumni sebagai simbolik penghargaan atas sokongan dan komitmen mereka terhadap universiti tercinta.
Selain itu, pelbagai inisiatif Pusat Alumni UPSI turut diperkenalkan bagi memperkukuhkan jaringan alumni serta menggalakkan penyertaan mereka dalam pelbagai program dan aktiviti universiti pada masa hadapan.
Penganjuran Kembara Santuni Alumni Sungai Petani membuktikan komitmen berterusan Pusat Alumni UPSI dalam menghargai jasa dan sumbangan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman, di samping memastikan hubungan erat antara alumni dan universiti terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
