TAMPIN, 27 Julai 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh hubungan bersama alumni menerusi penganjuran Program Kembara Santuni Alumni Negeri Sembilan yang berlangsung di Auditorium SJK (C) Chung Hua, Tampin, Negeri Sembilan.
Program anjuran Pusat Alumni UPSI itu menghimpunkan seramai 53 orang alumni sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim, menghargai sumbangan alumni serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, hubungan erat antara universiti dan alumni perlu terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif yang mampu menyatukan warga alumni serta memupuk semangat untuk terus menyumbang kepada alma mater. Menurut beliau, alumni merupakan rakan strategik universiti yang membawa legasi dan kecemerlangan UPSI ke tengah masyarakat.
Dalam majlis tersebut, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus bin Mohd. Said, telah menyampaikan ucapan kepada para alumni yang hadir. Beliau turut memperkenalkan Inisiatif RM1 Sehari, Seumur Hidup Berbakti, iaitu satu usaha bagi menggalakkan alumni menyumbang secara berterusan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan universiti serta kebajikan komuniti UPSI.
“Program Kembara Santuni Alumni bukan sekadar medan pertemuan, malah menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan yang telah terjalin sejak bergelar mahasiswa. Melalui Inisiatif RM1 Sehari, Seumur Hidup Berbakti, kita berharap lebih ramai alumni dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan universiti,” ujar beliau.
Penganjuran program ini bukan sekadar menghimpunkan alumni di bawah satu bumbung, malah menjadi wadah untuk mengimbau kembali kenangan ketika menuntut ilmu di Tanjong Malim. Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra memberi peluang kepada para alumni bertanya khabar, berkongsi pengalaman serta mengukuhkan jaringan persahabatan yang telah terjalin sejak bergelar mahasiswa UPSI.



Selain mengeratkan hubungan sesama alumni, program ini turut menjadi medium kepada Pusat Alumni UPSI untuk berkongsi perkembangan terkini universiti serta pelbagai inisiatif yang dirancang bagi memperkasakan jaringan alumni. Sesi interaksi yang berlangsung secara santai turut membuka ruang kepada para alumni untuk menyampaikan pandangan, cadangan dan idea yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan universiti pada masa hadapan.
Berteraskan slogan “Selagi Hayat Dikandung Badan, Kami Tetap Berbakti”, Program Kembara Santuni Alumni Negeri Sembilan membuktikan komitmen UPSI dalam menghargai jasa dan sumbangan alumninya. Jalinan yang terus diperkukuh diyakini akan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman, sekali gus memperkasa jaringan alumni sebagai rakan strategik universiti ke arah kecemerlangan yang berterusan.
