Tanjung Malim, 17 Julai 2026 – Bertepatan dengan ungkapan Sirih Pulang ke Gagang, sekumpulan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman telah kembali menjejakkan kaki ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi satu kunjungan yang berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS). Kepulangan ini melambangkan hubungan erat yang terus terjalin antara alumni dan universiti, sekali gus mencerminkan rasa kasih serta penghargaan terhadap UPSI yang telah menjadi tempat mereka membina ilmu sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Ketibaan para alumni disambut mesra oleh warga Pusat Alumni UPSI yang berkesempatan menyantuni mereka dalam suasana penuh keakraban dan nostalgia. Sesi santunan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi perkembangan semasa serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah sekian lama terjalin. Kunjungan ini turut mencerminkan penghargaan alumni terhadap UPSI, di samping memperlihatkan komitmen berterusan Pusat Alumni UPSI dalam terus memelihara hubungan baik bersama komuniti Alumni Anak Kandung Suluh Budiman.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, hubungan yang terus terjalin antara universiti dan alumni menjadi cerminan kejayaan sesebuah institusi dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, malah sentiasa menghargai asal usul serta alma mater yang telah membentuk perjalanan hidup mereka.

Dalam segala tersebut, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus bin Mohd. Said, turut menzahirkan penghargaan atas kesudian para alumni meluangkan masa untuk kembali ke UPSI. “Setiap kepulangan alumni membawa makna yang besar kepada universiti. Kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan semula kenangan di kampus, malah menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus memperkukuh hubungan yang berterusan antara alumni dan alma mater,” ujar beliau.

Sebagai tanda penghargaan atas kesudian para alumni kembali ke alma mater, Pusat Alumni UPSI turut menyampaikan cenderamata kepada para alumni yang hadir. Penyerahan tersebut melambangkan penghormatan universiti terhadap jasa dan sumbangan alumni yang sentiasa membawa nama UPSI dalam pelbagai bidang profesional, pendidikan dan kemasyarakatan. Penghargaan ini diharapkan dapat terus mengukuhkan hubungan erat yang telah terjalin antara universiti dan alumni.

Kunjungan seperti ini mencerminkan usaha berterusan Pusat Alumni UPSI dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti Alumni Anak Kandung Suluh Budiman. Hubungan yang erat antara universiti dan alumni bukan sahaja menjadi medium perkongsian pengalaman serta kepakaran, malah membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan universiti dan mahasiswa pada masa hadapan.

Sesungguhnya, setiap kepulangan alumni ke UPSI bukan sekadar sebuah kunjungan, tetapi menjadi lambang hubungan yang berkekalan antara alumni dan alma mater. Semangat Sirih Pulang ke Gagang yang dizahirkan menerusi kunjungan ini diharapkan terus menyemarakkan rasa kebersamaan dalam kalangan Anak Kandung Suluh Budiman serta memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam menyokong aspirasi dan kecemerlangan UPSI pada masa hadapan.