Oleh: Dr. Ahmad Muslihin Ahmad

KEPALA BATAS, 14 September 2026 – Pusat STEM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memenuhi jemputan ke STEM Synergy Showcase yang dianjurkan sempena Hari Kerjaya dan Hari Kokurikulum SMKA Al-Irshad pada 12 September 2026.

Mewakili Pusat STEM UPSI, Dr. Ahmad Muslihin Ahmad, Pensyarah Kanan Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, telah dijemput bagi memberikan penerangan serta perkongsian berkaitan kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada para murid.

Program berkenaan menjadi platform untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai kepelbagaian laluan pendidikan dan kerjaya STEM serta kepentingan penguasaan ilmu dan kemahiran STEM dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan masa kini.

Dalam sesi tersebut, Dr. Ahmad Muslihin turut memperkenalkan aktiviti interaktif “Bunkei vs Rikei”, iaitu chatbot ujian kendiri yang dibangunkan bagi membantu murid meneroka kecenderungan mereka terhadap bidang STEM (Rikei) dan bukan STEM (Bunkei). Aktiviti ini membolehkan murid mengenal pasti kecenderungan bidang masing-masing secara santai dan interaktif, di samping memberikan gambaran awal tentang bidang pengajian dan kerjaya yang boleh diterokai.

Hasil aktiviti chatbot menunjukkan bahawa majoriti murid yang menyertai ujian tersebut mempunyai kecenderungan ke arah Rikei, yang merujuk kepada bidang berasaskan sains, matematik dan disiplin berkaitan. Dapatan awal ini memberikan gambaran positif terhadap minat murid terhadap bidang STEM serta menunjukkan potensi untuk terus dipupuk melalui pendedahan, bimbingan dan pengalaman pembelajaran yang bersesuaian.

Kecenderungan tersebut turut dilihat seiring dengan aspirasi negara untuk memperkukuh bidang STEM sebagai salah satu pemacu pembangunan dan kemajuan negara. Pendedahan awal kepada bidang STEM dan prospek kerjayanya penting bagi membantu generasi muda memahami keperluan kemahiran masa hadapan serta melihat STEM bukan sekadar sebagai bidang akademik, tetapi sebagai laluan kepada pelbagai kerjaya dalam ekonomi dan teknologi moden.

Pada masa yang sama, penggunaan chatbot sebagai medium ujian kendiri memperlihatkan pendekatan yang lebih interaktif dalam membantu murid meneroka kecenderungan kerjaya. Pendekatan digital ini juga memberikan peluang kepada murid untuk memahami hubungan antara minat, bidang pengajian dan peluang kerjaya STEM yang semakin berkembang.

Murid menerokai aplikasi chatbot AI Bunkei vs Rikei dalam mengenalpasti minat kendiri terhadap bidang STEM dan bukan STEM

STEM Synergy Showcase merupakan antara pengisian dalam Hari Kerjaya dan Hari Kokurikulum SMKA Al-Irshad yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Program tersebut telah dirasmikan oleh Encik Ishak bin Harun, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Penyertaan Pusat STEM UPSI dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan serta menyokong usaha memperkenalkan bidang STEM kepada generasi muda. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat membantu murid membuat penerokaan awal terhadap potensi diri, pilihan pengajian dan prospek kerjaya, khususnya dalam menghadapi keperluan dunia pekerjaan yang semakin dipacu oleh sains, teknologi dan inovasi.