Oleh : Mohamad Nor Zakuan Abdul Rashid dan Bazli Razak
TANJUNG MALIM – Pendidikan yang berkualiti sejak peringkat awal usia berperanan penting dalam membentuk jati diri, emosi dan kemahiran sosial kanak-kanak selain menyokong perkembangan akademik mereka.
Sehubungan itu, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) menganjurkan Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2026 sebagai wadah menyemai semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak.
Program yang berlangsung di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI itu melibatkan kanak-kanak taska dan tadika NCDRC serta murid SRSB, selain disertai pendidik, kakitangan, ibu bapa dan komuniti sekolah.
Pengarah NCDRC Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa berkata pendedahan kepada program berunsurkan patriotisme sejak usia awal dapat memberikan asas kepada kanak-kanak untuk memahami nilai kebersamaan, budaya dan identiti negara.
Beliau berkata walaupun kanak-kanak pada usia tersebut belum sepenuhnya memahami konsep politik atau sejarah yang kompleks, pengalaman menyertai sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia dapat membantu membentuk perkembangan diri mereka secara menyeluruh.
“Pendidikan yang sempurna dan berkualiti memberi ruang yang besar dalam kemenjadian kanak-kanak, bukan sahaja dari aspek akademik dan prestasi, malah memberi impak besar terhadap pembentukan jati diri, emosi dan sosial mereka sejak peringkat awal usia,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan kreativiti serta keyakinan diri, antaranya pertandingan mewarna, kolaj, sajak, pantun, persembahan nyanyian bertemakan Hari Kebangsaan dan peragaan pakaian Hari Kebangsaan.
Seorang ibu, Nurizzati berkata beliau teruja dan terharu melihat keyakinan kanak-kanak menyertai program berkenaan, khususnya ketika memperagakan pakaian bertemakan kemerdekaan dan membuat persembahan di hadapan khalayak.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti sedemikian bukan sahaja memberikan pengalaman menyeronokkan kepada kanak-kanak, malah membantu meningkatkan keberanian dan keyakinan diri mereka.
“Memakai pakaian patriotik dan membuat persembahan di depan khalayak membantu membina keberanian dan keyakinan diri kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, NCDRC menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara pendidik dan ibu bapa dalam membentuk perkembangan serta nilai diri kanak-kanak.
Kerjasama berkenaan penting kerana kanak-kanak cenderung memerhati dan mencontohi perkara yang ditunjukkan kepada mereka, sekali gus menjadikan program berunsurkan patriotisme sebagai medium pendidikan tidak formal untuk memperkenalkan budaya, kepelbagaian kaum dan nilai kehidupan bermasyarakat.



Program itu turut mencerminkan kepentingan penglibatan bersama ibu bapa, pendidik dan komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang harmoni serta menyokong perkembangan kanak-kanak.
Majlis berkenaan dirasmikan Orang Besar 32 Perak YBhg. Dato’ Haji Ahmad Faizel bin Dato’ Haji Abdul Karim, yang turut dikenali sebagai YDH Toh Sakna Bongsu.
Turut hadir Pengarah NCDRC Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Muallim Mohd Irwan Manshur, Pengurus Besar UPSI Holdings Mohd Effendy Dato’ Mohamad Zailani serta barisan pengurusan UPSI, wakil SRSB dan Parent Support Group (PSG).

