TANJONG MALIM, 21 OKTOBER 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mata menerusi penganjuran Program Hari Penglihatan Sedunia, anjuran bersama Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI, Pusat Kaunseling UPSI serta Jabatan Oftalmologi Hospital Sungai Buloh.

Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan warga universiti tentang kepentingan menjaga kesihatan mata, khususnya dalam persekitaran pekerjaan yang menuntut penggunaan komputer dan peranti digital secara berterusan.

Antara pengisian utama program ialah ceramah kesihatan mata di tempat kerja yang disampaikan oleh Dr. Chandramalar, Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Sungai Buloh. Ceramah tersebut memberikan pendedahan tentang kepentingan penjagaan mata, faktor risiko yang boleh menjejaskan penglihatan serta langkah pencegahan bagi mengurangkan masalah kesihatan mata dalam kalangan pekerja.

Program ini turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata oleh pakar mata daripada Hospital Sungai Buloh, sekali gus memberikan peluang kepada warga universiti mendapatkan pemeriksaan dan penilaian awal terhadap kesihatan penglihatan mereka.

Penganjuran program ini telah mendapat sambutan yang amat luar biasa daripada warga universiti, sekali gus mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan pemeriksaan mata dan penjagaan penglihatan sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan kesihatan serta kesejahteraan di tempat kerja.

Kerjasama strategik antara UPSI dengan Hospital Sungai Buloh ini memperlihatkan komitmen bersama dalam memperluas pendidikan kesihatan serta menggalakkan amalan pencegahan melalui perkongsian kepakaran profesional perubatan.

Melalui penganjuran program seumpama ini, UPSI berharap agar warga universiti terus mengutamakan penjagaan kesihatan mata, menjalani pemeriksaan secara berkala dan mengamalkan langkah pencegahan yang bersesuaian bagi memastikan penglihatan sentiasa terpelihara.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen universiti untuk membudayakan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan sejahtera, di samping memperkukuh kesejahteraan warga UPSI secara menyeluruh.