Oleh: Noor Iffa Zulaika Mohd Azahar dan Nurul Ain Fitry Lukman
Tanjung Malim, 24 Disember 2024 — Program Mission Firesafe anjuran Kolej Harun Aminurrashid telah berlangsung dengan jayanya di kawasan KHAR Central, melibatkan penyertaan aktif penghuni kolej bersama pasukan bomba dari Balai Bomba Tanjung Malim.
Majlis dimulakan dengan bunyi alat penggera yang panjang di setiap blok, diikuti dengan arahan kepada semua penghuni untuk berkumpul di KHAR Central di bawah penyeliaan ketua aras bagi setiap blok. Proses ini berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak.
Demonstrasi penyelamatan mangsa diadakan di Blok 5-1-1-2, di mana pasukan bomba memperagakan teknik penyelamatan secara profesional. Aktiviti ini mendapat perhatian serius daripada para penghuni, yang berpeluang menyaksikan secara langsung kepakaran pasukan bomba.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan dan taklimat keselamatan oleh Encik Saiful Ammar Ismail, Pegawai Bomba Kanan 1 dan Ketua Pasukan Operasi Balai Bomba Tanjung Malim.
Beliau menekankan kepentingan memahami prosedur keselamatan kebakaran serta teknik pemadaman api yang betul.
“Dalam situasi kebakaran, perkara paling penting adalah untuk kekal bertenang dan mengikut prosedur yang telah diajar. Pastikan laluan kecemasan sentiasa jelas dan jangan panik,” kata Encik Saiful Ammar.
Beliau turut mengingatkan, “Gunakan alat pemadam api hanya jika anda tahu cara menggunakannya. Jika tidak, segera hubungi pihak bomba untuk bantuan.”
Sesi soal jawab yang diadakan selepas itu membuka peluang kepada penghuni untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang aspek keselamatan kebakaran. Encik Saiful Ammar bersama pasukannya menjawab semua soalan dengan terperinci.


Sebagai penghargaan, sijil dan hadiah telah disampaikan kepada pihak bomba, diwakili oleh Encik Saiful Ammar bin Ismail, serta kepada Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerja, diwakili oleh Encik Muhammad Arif Mat Saat. Wakil dari pihak Gemilang turut menerima penghargaan atas kerjasama mereka.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama semua pihak yang terlibat sebelum para peserta bersurai.
