Oleh: Ainul Mardhiah Hashim
Tanjong Malim, 23 Disember 2024: Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana KHAR bertempat di Dewan Harun Aminurrashid pada Isnin lalu.
Majlis ini diadakan sebagai satu galakan dan dorongan kepada mahasiswa yang beragama Islam untuk sentiasa mengingati Allah serta mendekatkan diri kepada-Nya melalui amalan kerohanian yang berterusan.
Selain itu, program seperti ini juga berperanan memupuk semangat perpaduan dan ukhwah dalam kalangan mahasiswa, di samping memberikan ruang untuk bermuhasabah diri dan meningkatkan kualiti keimanan.
Majlis ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa dan mahasiswi UPSI. Pengetua KHAR dan felo-felo blok kediaman turut hadir memeriahkan program bacaan Yasin ini.
Dalam suasana penuh keinsafan, para peserta bersama-sama memanjatkan doa agar dikurniakan ketenangan jiwa, dipermudahkan segala urusan serta dilimpahi kejayaan dalam kehidupan dan akademik.


Pengisian Majlis bermula dengan kehadiran para penghuni kolej, Pengetua dan barisan felo yang disambut oleh ahli jawatankuasa pelaksana.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat sunat hajat untuk memohon keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan seharian.
Acara kemuncak adalah bacaan Yasin dan Tahlil, yang disusuli dengan ucapan oleh pengetua dan pengarah program.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah, melahirkan rasa syukur atas kelancaran majlis keagamaan ini, yang berjaya dianjurkan untuk kesekian kalinya.
Dalam ucapannya, beliau berpesan kepada para pelajar agar sentiasa menjaga tingkah laku dan menjauhi perkara-perkara yang melalaikan hingga boleh merosakkan akidah.
Selain itu, beliau turut menggalakkan semua penghuni untuk aktif melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa Kolej Harun Aminurrashid.
Penglibatan ini mencerminkan bahawa penghuni Kolej Harun Aminurrashid adalah individu yang proaktif dan sentiasa memberikan sokongan padu dalam setiap program yang diadakan.

Pengarah program, Muhammad Firzuan Sha’ari, berkongsi mengenai ujian-ujian yang sering dihadapi dalam kehidupan.
Dalam perkongsiannya, saudara Firzuan turut menceritakan kisah Rasulullah SAW bersama seorang lelaki buta yang sering mencaci Baginda, dan menyimpulkan bahawa pengajaran daripada kisah ini ialah akhlak mulia Rasulullah SAW, yang membalas kebencian dengan kebaikan dan kasih sayang, menjadi teladan sepanjang zaman untuk umat manusia.
Selain itu, pengarah program juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para hadirin yang sudi melapangkan masa untuk memeriahkan majlis ini.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah dan bacaan Surah Al-Mulk yang diketuai oleh Muhammad Firzuan Sha’ari, diikuti dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan.
Suasana tenang dan penuh khusyuk menyelimuti majlis, mencerminkan kehadiran dan penghayatan mendalam para peserta terhadap acara kerohanian tersebut.
Para peserta kemudian bersurai dengan membawa semangat baru untuk terus istiqamah dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Diharapkan majlis seperti ini dapat menjadi budaya berterusan dalam kalangan pelajar UPSI, kerana ia bukan sahaja membentuk sahsiah diri, malah dapat memperkukuh nilai kerohanian, kebersamaan dan keprihatinan, sekali gus melahirkan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia dan berjiwa tenang.
