Oleh: Danish Irfan dan Afifah Nadhirah
Tanjong Malim, 16 Disember 2024 – Program fire drill atau latihan kebakaran merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan jayanya program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran penghuni kolej terhadap situasi kecemasan.


Dengan kerjasama pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim serta pihak Gemilang, Universiti Pendidikan Sultan Idris, program ini melibatkan lebih 1,000 penghuni, memberikan pengalaman praktikal dan pengetahuan asas langkah keselamatan ketika kebakaran.
Simulasi kebakaran dan pengungsian blok kediaman telah dilaksanakan bertujuan mendidik para penghuni tentang prosedur kecemasan, mengasah kemahiran bertindak pantas, dan mengurangkan risiko panik ketika insiden sebenar.
Pengalaman ini juga telah memberi peluang kepada para penghuni untuk mengaplikasikan langkah-langkah keluar menuju ke assembly point secara teratur dan terkawal, di bawah bimbingan Exco, ketua aras dan anggota bomba.


Wakil Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim memberikan penerangan mengenai punca kebakaran, langkah pencegahan, serta pengenalan kepada alat keselamatan seperti alat pemadam api kepada semua penghuni Kolej Ungku Omar.
“Simulasi atau bukan, api kecil mahupun besar, semua latihan kebakaran yang dijalankan perlu diambil serius!”, tegas pegawai bomba tersebut.
Demonstrasi penggunaan alat pemadam api turut diadakan, di mana beberapa penghuni terpilih diberi peluang untuk mencuba memadamkan api kecil sekali gus memberi mereka keyakinan untuk mengendalikan situasi kecemasan sebelum bantuan tiba.

Program ini telah membawa pelbagai manfaat dan berjaya memberi impak yang positif kepada semua penghuni dan ahli jawatankuasa program yang terlibat.
Para penghuni kini menjadi lebih bersedia secara mental dan fizikal lantas peka terhadap risiko kebakaran dan langkah pencegahannya.
Encik Mohd Alamin Ismail selaku Felo Kolej Ungku Omar, berkata, “Saya harap program seperti ini akan diadakan pada semester seterusnya juga supaya semua penghuni baru dapat pendedahan fire drill sebegini. Thank you abang bomba.”
Latihan kebakaran ini membuktikan komitmen UPSI dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni kolej.
Pihak Kolej Ungku Omar berharap agar program seperti ini diteruskan setiap semester bagi menerapkan budaya keselamatan dalam kalangan pelajar dan staf kerana keselamatan bukan pilihan, tetapi keutamaan.
