Oleh: Muhammad Qayyim Hadif Nazarmasagos

Tanjong Malim, 14 Disember 2024- Futsal merupakan sukan yang berasal daripada bola sepak, telah berkembang pesat dan menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia. Kejohanan futsal sering menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu, terutama dalam kalangan generasi muda. Dewan Arena UPSI Kampus Sultan Azlan Shah telah menjadi saksi aksi hebat para peserta Kejohanan Ola Futsal FPE yang dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kejohanan ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada peserta untuk berehat dan mengurangkan tekanan daripada tugasan dan kerja harian. Melalui sukan ini, peserta dapat meningkatkan mood dan kesejahteraan mental mereka.

Seramai 78 orang peserta lelaki, iaitu pelajar FPE yang mewakili 12 buah kumpulan menyertai kejohanan ini. Kejohanan ini dilaksanakan mengikut format liga, iaitu kesemua pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan; tiga pasukan bagi setiap kumpulan. Kesemua pasukan akan berlawan dengan pasukan lain di dalam kumpulan masing-masing, dan mata akan dikira mengikut jumlah gol dan tambahan mata akan diberikan kepada pasukan yang memenangi setiap perlawanan. Johan dan naib johan bagi setiap kumpulan seterusnya akan mara ke peringkat suku akhir, dan seterusnya peringkat separuh akhir sebelum berentap di pusingan akhir.

Sepanjang berlangsungnya kejohanan ini, pelbagai aksi dan kemahiran yang menakjubkan telah pun ditonjolkan oleh para pemain. Sungguhpun begitu, adat permainan, ada yang menang dan ada yang kalah, hanya dua pasukan sahaja yang berjaya mara ke pusingan akhir iaitu pasukan Bernam Ranger dan pasukan X-Calma. Pusingan akhir antara kedua-dua pasukan ini berlangsung dengan amat sengit di mana mereka saling menyerang dan bertahan untuk mendapatkan gol. Akan tetapi, sehingga ke akhir perlawanan tiada sebarang gol yang dapat dihasilkan oleh kedua-dua pasukan. Oleh itu, sepakan penalti dijadikan sebagai penentu kemenangan bagi perlawanan ini. Meskipun X-Calma telah menunjukkan aksi yang sangat hebat, akan tetapi nasib menyebelahi pasukan Bernam Ranger apabila mereka berjaya untuk membolosi gawang gol pasukan lawan bagi setiap sepakan penalti, menjadikan Bernam Ranger sebagai Johan bagi Kejohanan Ola Futsal FPE.

Majlis penyampaian hadiah telah pun disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPE, Dr Khalizul Khalid. Perlawanan didahului dengan pasukan Bernam Ranger sebagai Johan, X-Calma sebagai Naib Johan, dan Jabol FC dan KML sebagai pemenang tempat ketiga bersama.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan sempurna meskipun terdapat beberapa kecederaan dalam kalangan pemain, namun semuanya mampu ditangani dengan baik. Kejohanan futsal bukan sahaja tentang persaingan, tetapi juga tentang semangat kesukanan, perpaduan, dan peluang untuk semua. Semoga kejohanan Ola Futsal FPE ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang dan seterusnya menjadi salah satu program tahunan yang dijalankan oleh fakulti.