Pulau Pangkor, 19 Januari 2025- Dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara alumni dan institusi, satu mesyuarat penting mengenai pembinaan rubrik Anugerah Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung di Pulau Pangkor. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar daripada fakulti bersama dengan Pegawai daripada Pusat Alumni. Dengan kehadiran daripada Timbalan Dekan ini, setiap sesi perbincangan menjadi lebih terarah dan produktif, terutama dalam merangka strategi penambahbaikan yang mampu memacu keberkesanan program Anugerah Alumni.

Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan kriteria dan mekanisme pemilihan penerima Anugerah Alumni yang lebih inklusif dan relevan dengan pencapaian semasa berlangsung di Dewan Bendahara, Pangkor Beach Village itu memberikan impak yang besar dalam penstrukturan pemarkahan. Setiap sesi perbincangan dirancang dengan teliti untuk memastikan semua pihak dapat menyumbangkan pandangan dan kepakaran mereka. Ahli jawatankuasa bekerjasama dalam menghasilkan rangka kerja penilaian yang komprehensif, dengan memberi tumpuan kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan inklusiviti.

“Anugerah Alumni bukan sahaja simbol pengiktirafan, tetapi juga satu cara untuk menginspirasi pelajar dan masyarakat tentang potensi besar yang dimiliki oleh alumni kita. Oleh itu, pembangunan rubrik yang telus dan berkesan adalah keutamaan,” kata Pengarah Pusat Alumni, Dr Omar Firdaus Mohd Said.

Sepanjang mesyuarat, perbincangan tertumpu kepada beberapa aspek utama seperti Penetapan Kategori Anugerah. Anugerah alumni dibahagikan kepada dua iaitu Anugerah Khas Kecemerlangan dan Anugerah Ikon. Anugerah Khas Kecemerlangan seperti Anugerah Khas Kepimpinan Alumni (Dr.) Sani Araby, Anugerah Khas Inovasi Dr. Ishak Johari, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Dato Seri Sidek Saniff, Anugerah Khas Kesukarelawan Dato’ Sri Abdul Jabbar Ibrahim dan Anugerah Khas Keusahawanan Persatuan Alumni Suluh Budiman. Manakala Anugerah Ikon merangkumi pelbagai bidang seperti kepimpinan, inovasi, keusahawanan, pendidikan, dan kesukarelawan. Seterusnya, kriteria penilaian juga dinilai seperti pencapaian profesional, sumbangan sosial, dan keterlibatan alumni dengan institusi pendidikan juga turut diperhalusi. Kemudian, Mekanisme Penilaian menggunakan sistem penilaian berasaskan poin dengan panel hakim terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk memastikan proses yang adil dan menyeluruh.

Mesyuarat ini diakhiri dengan penetapan draf akhir rubrik sebelum ia dilaksanakan secara rasmi. Semua pihak menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyusun dan menyelaraskan setiap butiran penting bagi memastikan kejayaan acara ini. Dengan kerjasama yang erat dan semangat yang kukuh, Anugerah Alumni diharapkan dapat menjadi platform utama dalam mengiktiraf kejayaan, sumbangan, dan pencapaian cemerlang alumni yang telah memberikan impak positif dalam masyarakat dan negara. Pelaksanaan yang terancang dan penglibatan aktif semua pihak akan memastikan acara ini berjaya dengan cemerlang, memberikan pengiktirafan yang setimpal kepada alumni yang berusaha keras dan berjaya dalam bidang masing-masing.