Oleh: Norliza Johar
Tanjong Malim, 4 Januari 2025– Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menganjurkan Hari Anugerah Kecemerlangan Jabatan Pengajian Malaysia di Dewan Kuliah Pusat 5 Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini merupakan program yang julung kali diadakan oleh barisan kepimpinan PPMas sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf dan meraikan kejayaan mahasiswa AT58 ISM Pengajian Malaysia dengan Pendidikan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang pada semester akademik A231 dan A232.
Kejayaan program ini disumbang oleh usaha gigih pengarah program, Tia Jing Ting yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyusun perjalanan program.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Kemanusiaan, Dr. Abu Zarrin Selamat dijemput untuk merasmikan program.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pengarah program dan ahli pelaksana program yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar. Beliau turut menyatakan bahawa usaha menjayakan program ini perlu diteruskan kerana menurut beliau, program seperti ini memberikan impak yang sangat tinggi sebagai pemangkin kejayaan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris khususnya mahasiswa daripada Fakulti Sains Kemanusiaan. Menurut beliau juga, dalam dunia yang semakin mencabar ini, mahasiswa juga perlu bijak menyeimbangkan diri dalam urusan akademik dan kokurikulum agar mendapat mencapai target pasaran graduan yang berkualiti setelah bergraduasi nanti. Di akhir ucapannya, beliau turut memberikan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada penerima anugerah dan didoakan agar lebih berjaya di masa hadapan.
Program yang diadakan ini bukan sahaja meraikan mahasiswa yang cemerlang akademiknya tetapi turut menjulang tinggi kejayaan dan kewibawaan mahasiswa AT58 yang mempunyai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum seperti kepimpinan, sukan dan inovasi. Terdapat dua kategori anugerah khas yang disampaikan melalui program ini sebagai tanda penghargaan kepada mahasiswa yang cemerlang iaitu Anugerah Khas Tokoh Akademik dan Anugerah Khas Ketua Jabatan. Anugerah Khas Tokoh Akademik dianugerahkan saudara Adam Khaliq Abd Aziz yang telah mencapai kecemerlangan dalam akademik sepanjang pengajian. Anugerah Khas Ketua Jabatan pula dianugerahkan kepada Muhammad Hafizuddin Ahmad Zawawi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mahasiswa AT58 yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Persatuan Pengajian Malaysia, Jabatan Pengajian Malaysia dan Fakulti Sains Kemanusiaan.

Dengan adanya program ini, mahasiswa diberi ruang dan peluang untuk meraikan segala titik peluk dan usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam semester akademik A231 dan A232.
Tuntasnya, dengan pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperkasakan minda mahasiswa dengan aktiviti positif serta memupuk pengalaman praktikal dalam dalam bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Persatuan Pengajian Malaysia juga berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang diikuti dengan pelbagai penambahbaikan seiring dengan peredaran masa.
