Oleh: Bazli Razak
MELAKA, 8 Februari 2025 – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melaksanakan misi penyerahan wakaf Al-Quran melibatkan 200 naskhah kepada lima lokasi terpilih di negeri ini baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang itu turut mendapat sokongan strategik Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, dalam usaha memperkukuh penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Naib Canselori UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata bahawa program wakaf ini adalah salah satu inisiatif universiti dalam mendukung tanggungjawab sosial dan memperkukuh hubungan dengan komuniti.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan naskhah Al-Quran kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga sebagai salah satu cara kami memupuk nilai murni serta menyemai kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, UPSI akan terus melaksanakan program seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa peranan institusi pendidikan dalam pembangunan sosial dan keagamaan.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan pembangunan insan, UPSI komited untuk memastikan program seperti ini dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat, khususnya dalam aspek peningkatan literasi Al-Quran.

“Kami percaya bahawa usaha berterusan dalam mengagihkan Al-Quran kepada institusi-institusi agama akan membantu memperkukuh kefahaman dan amalan Islam dalam kalangan masyarakat.
“UPSI juga akan terus memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan, agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai golongan sasaran,” ujar beliau.
Antara 5 lokasi pengagihan Wakaf Al-Quran yang terpilih di negeri ini adalah Masjid Ar-Razzaaq, Bachang (20 naskhah), Madrasah Nur At Taufiq, Taman Saujana Indah (20 naskhah), Surau Nur As Sakinah, Taman Bukit Katil Damai 2 (60 naskhah), Madrasah Hajjah Aminah, Ayer Molek (60 naskhah) dan Masjid An Nur, Bandar Hilir (40 naskhah).
Sementara itu, Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Profesor Dr. Mohd Azlan Nafiah, berkata bahawa program wakaf ini adalah selari dengan misi universiti dalam menyebarkan manfaat ilmu dan keagamaan kepada masyarakat.
“Program ini bukan sekadar penyampaian Al-Quran, tetapi ia juga merupakan manifestasi tanggungjawab sosial UPSI dalam membentuk masyarakat yang lebih berilmu dan bertakwa,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini tidak akan terhenti di sini dan akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri lain bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
“Kami amat menghargai kerjasama strategik daripada pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan berharap lebih banyak institusi dapat turut serta dalam usaha mulia ini pada masa akan datang,” katanya.
“UCTC, UPSI sentiasa komited dalam memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan dalam masyarakat dengan menyalurkan manfaat ilmu dan keperluan ibadah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
