Oleh: Arissa Hasya Auni

Tanjong Malim, 10 Februari 2025 – Hasil keputusan Kejohanan Boling Amatur UPSI Ke-95 pada 27 Januari lalu melalui  Pertandingan Tenpin Boling Apresiasi Alumni (TASTE) Khas Friendly Games, satu pertandingan ulangan diadakan pada hari ini di UPSI Sports Bowl.

Pertandingan Tenpin Boling Apresiasi Alumni (TASTE) Khas Friendly Games Rematch menyaksikan Juara Bertahan yang juga Penolong Jurutera JA5, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Mohd Shaharuddin Ahmad terpaksa berputih mata dan menyerah kejuaraan kepada pencabar baharu.

Naib Juara pertandingan lepas Ahmad ’Afif Afnan berjaya menumpaskan beliau dengan mendapat 448 jatuhan pin berbanding Shaharuddin (410). Afnan juga berjaya mencatatkan 10 strike sepanjang permainan termasuk berjaya mencatatkan sekali Turkey Strike. Beliau berjaya menyapu bersih Juara Pusingan 1 (167 jatuhan pin), Juara Pusingan 2 (140 jatuhan pin) dan Juara Pusingan 3 (141 jatuhan pin) selain menang Juara Kategori Lelaki. Afnan juga berjaya memecahkan rekod peribadi sebelumnya, 158 jatuhan pin yang dicatatkan di Wangsa Bowl Setia City Mall pada 7 Disember 2024 dengan rekod baharu, 167 jatuhan pin.

Kali ini, Shaharuddin hanya berpuas hati sebagai Naib Juara Keseluruhan, Naib Juara Kategori Lelaki dan mencatatkan 7 kali strike sepanjang permainan. Pada pusingan 1, Shaharuddin memperoleh 150 jatuhan pin, kemudiannya 125 jatuhan pin dan pusingan 3 dengan 135 jatuhan pin.

Bergambar kenangan lima pemenang Kategori Individu Keseluruhan

Tempat Ketiga Keseluruhan dimenangi oleh Juara Strike pertandingan lepas, Ahmad Janatul Firdaus. Beliau mendapat 355 jatuhan pin berjaya menduduki Tempat Ketiga Kategori Lelaki dan mencatatkan 3 strike.

Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Dr Mohd Hishamuddin Abdul Rahman menduduki Tempat Keempat Keseluruhan dengan 330 jatuhan pin. Beliau berjaya mencatatkan 4 kali strike dan sekali Turkey Strike. Manakala Ahmad Hasif Naufal pula menduduki Tempat Kelima Keseluruhan dengan 292 jatuhan pin dan berjaya mendapatkan 1 strike sepanjang pertandingan.

Pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI, Ahmad Janatul Firdaus berkata pertandingan ini dianjurkan atas permintaan pemain boling amatur yang berhasrat satu pertandingan ulangan dianjurkan setelah pertandingan yang berlangsung pada 27 Januari 2025 lalu.

Untuk rekod, TASTE Friendly Games Rematch merupakan siri ke-97 dalam penganjuran Kejohanan Boling Amatur UPSI.

”Penganjuran TASTE seterusnya tertakluk kepada permintaan Alumni Kejohanan yang berhasrat untuk mengadakan pertandingan secara kecil kecilan tetapi diberi pengiktirafan dengan menobat pemenang” sambung Ahmad.