Oleh: Hafiz Abd Manap dan Qatrun Nada Hilmy
Tanjong Malim, 21 Februari 2025 – Satu program penanda aras telah diadakan antara Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4 (PEKA 4), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meningkatkan hubungan kerjasama antara universiti serta memberikan peluang untuk pertukaran ilmu dan pengalaman antara mahasiswa.

Program yang diadakan di Kolej Ungku Omar dan Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, UPSI, ini bertujuan untuk memperkasa peranan perwakilan mahasiswa dalam menjaga kebajikan pelajar serta membangunkan potensi kepimpinan mereka.

Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan kehidupan kampus dan cara-cara menangani cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa dalam dunia pendidikan tinggi.
Persidangan tersebut diwakili oleh Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar, UPSI, bersama Pengetua PEKA 4 dan barisan kefeloan UMPSA.
Beliau yang menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkan ia sebagai langkah positif untuk mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dari universiti yang berlainan.

Beliau turut berharap, melalui program ini, mahasiswa dapat membina jaringan yang lebih luas serta mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka di samping mempertingkatkan budaya kerjasama dan tolong-menolong dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, program ini juga melibatkan sesi perkongsian pengalaman daripada perwakilan mahasiswa kedua-dua pihak yang telah berpengalaman dalam menjalankan tugas kepimpinan serta memberi input kepada para peserta mengenai cara-cara menguruskan pelbagai aktiviti kemahasiswaan di kampus.

Selain itu, satu sesi perkongsian ilmu juga diadakan di mana peserta berpeluang mendalami topik-topik seperti pengurusan acara, strategi komunikasi, dan penglibatan pelajar dalam aktiviti sosial serta akademik.
Salah seorang Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4, UMPSA, saudari Aqilah Hasnan menyatakan program ini bukan sahaja memberikan peluang untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan, tetapi juga mengeratkan silaturahim di kalangan mahasiswa universiti yang berbeza.

Beliau turut berpendapat bahawa perkongsian antara universiti ini memberi mereka perspektif baharu tentang cara-cara memperbaiki sistem kemahasiswaan serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk peningkatan perkhidmatan kepada mahasiswa di kampus, katanya lagi.
Program ini diakhiri dengan satu sesi perbincangan terbuka di mana para peserta diberikan ruang untuk bertanya dan berbincang lebih lanjut mengenai idea dan cadangan yang dapat diterapkan dalam aktiviti perwakilan mahasiswa di masa hadapan.

UPSI
Selain itu, kedua-dua universiti turut bersetuju untuk terus mengadakan kerjasama dalam pelbagai program yang boleh memberi manfaat kepada pelajar mereka.

Dengan kejayaan program seperti ini diharapkan lebih banyak lagi kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia dapat diadakan untuk memperkasa peranan mahasiswa dan meningkatkan kualiti kehidupan pelajar di kampus.
