Tanjong Malim, 27 Februari- Satu penghormatan dan pengiktirafan besar buat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila empat orang pelajar dan seorang kakitangan telah dipilih untuk menjadi imam bagi Program ‘Qari in Residence’ di tiga buah negara yang berbeza sepanjang bulan Ramadan bagi tahun 2025. Empat orang pelajar ini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan.

Muhammad Badrul Amin Derome terpilih dalam program ‘Qari-in-Residence’ di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom. Selain itu, Muhammad Fathmi Izwan Rusli dipilih sebagai imam solat tarawih di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia, manakala Muhammad Safwan Ismail, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam pula terpilih untuk menjadi imam solat tarawih di Perth, Australia. Bagi Program ‘Qari in Residence’ di Masjid Darul Ghurfan, Singapura pula diwakili oleh dua orang pelajar UPSI, iaitu Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan.

Pemilihan mereka dalam program ini merupakan satu pencapaian membanggakan kerana masjid dan institusi yang terlibat adalah antara pusat keagamaan dan pendidikan Islam yang berprestij di peringkat Antarabangsa. Peluang ini bukan sahaja dapat menggilap bakat  mereka sebagai qari tetapi juga memberikan pengalaman berharga dalam berinteraksi dengan masyarakat Islam yang berbilang latar belakang budaya dan cara hidup.

Mengimamkan solat tarawih di negara asing bukanlah satu tugas yang mudah. Perbezaan cuaca, budaya serta adat resam masyarakat setempat menjadi cabaran yang perlu dihadapi. Namun, tanggungjawab ini adalah satu peluang keemasan untuk memperkukuhkan keyakinan diri dan menimba pengalaman berharga sebagai imam serta pemimpin dalam komuniti Islam global.

Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami, Prof. Dr. Azmil menyatakan bahawa pemilihan pelajar UPSI dalam program ini membuktikan bahawa universiti bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam bidang keagamaan. Beliau berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta memanfaatkan peluang yang ada untuk mengembangkan kemahiran mereka di peringkat antarabangsa.

Semoga pencapaian mereka menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar UPSI untuk terus melakar kejayaan dalam bidang akademik dan keagamaan, sekaligus mengharumkan nama universiti dan negara di pentas dunia.