Tanjong Malim, 23 Mac – Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah UPSI (WEZAS) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengambil inisiatif dalam memastikan keselesaan ibu bapa melaksanakan ibadah di Masjid UPSI sepanjang bulan Ramadan.

Dalam usaha ini, pihak WEZAS menyediakan dana bagi menyokong pelaksanaan program, manakala pihak MPP bertanggungjawab menyediakan jadual pelajar bertugas yang akan mengawal dan mengawasi kanak-kanak.

Langkah ini diambil bagi mengurangkan kebisingan yang sering berlaku akibat kanak-kanak bermain dan berlari semasa solat tarawih berlangsung.

Pengarah WEZAS menyatakan bahawa inisiatif ini adalah hasil cadangan daripada Dato’ Naib Canselor UPSI bagi memastikan keselesaan jemaah ketika beribadah terjamin.

“Walaupun inisiatif ini belum mencapai tahap yang dihasratkan tetapi usaha ini dilihat sebagai langkah awal agar suasana masjid sentiasa kondusif sebagai tempat untuk beribadah”

YDP MPP, Mohammad Arif Aizat menyatakan seramai dua hingga empat orang pelajar ditugaskan pada setiap sesi untuk memantau dan menguruskan kanak-kanak. Pelbagai aktiviti menarik seperti melukis dan mewarna turut dijalankan bagi memastikan mereka terhibur dan tidak mengganggu jemaah.

Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang demi memastikan keselesaan jemaah sentiasa terjamin.

Pihak WEZAS dan MPP turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Seri Ahmad Burak, ahli LPU UPSI atas tajaan elaun dan Pusat Islam UPSI, khususnya kepada Ustaz Majdan Ismail, atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.