Tanjong Malim, 19 Mac 2025 – Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif telah menganjurkan majlis iftar bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli fakulti.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sri Tanjung ini disertai oleh ahli keluarga pensyarah dan sfaf. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Penasihat Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Cik Noriha Muhammad.
Bermula seawal 8 pagi, aktiviti rewang telah diadakan bagi tujuan penyediaan makanan berbuka puasa. Semua warga FSKIK telah bergotong-royong menyediakan juadah seperti ayam rendang hijau, gulai lemak, ayam bakar, pengat pisang, dan pelbagai jenis sambal dan ulam-ulaman.
Aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan semangat kerjasama tetapi juga memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dalam kalangan ahli fakulti.
Majlis iftar ini bertujuan bukan sahaja untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan tetapi juga sebagai platform untuk meningkatkan ukhuwah antara ahli fakulti.
Acara ini dimulakan dengan bacaan doa ringkas oleh Ustaz Mohamad Ilzam Nawawi bagi memberkati majlis dan diikuti dengan ucapan aluan Dekan fakulti serta penyerahan watikah pelantikan sebagai jawatankuasa di bawah SBU Fakulti, ARTTRADE.


Selain itu, sebelum waktu berbuka puasa, bacaan tahlil turut diadakan dan dipimpin oleh Ustaz Mohamad Ilzam Nawawi bagi mendoakan kesejahteraan seluruh warga fakulti serta memperingati ahli keluarga yang telah tiada dan disertai dengan penuh keinsafan oleh semua hadirin.
Sejurus azan Maghrib berkumandang, para hadirin menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara gotong-royong. Suasana penuh kemesraan dan keakraban jelas terpancar sepanjang majlis berlangsung.
Dekan Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Sedon dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini menjadi medan terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara warga fakulti.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga masa yang sesuai untuk kita saling mengenali dan merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga fakulti ini,” katanya.
Keseluruhannya, majlis iftar ini berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan fakulti serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli fakulti.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan jalinan ukhuwah sesama warga fakulti.
