Oleh: Nur Syafiqah Bakhtin

Cheras, 7 Mei 2025 – Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menjayakan Program Jejak Seni bersama warga SMK Perimbun, Cheras sebagai satu inisiatif memperkukuh jalinan seni merentas institusi pendidikan.

Program separuh hari ini melibatkan seramai 15 pelajar Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI, diketuai oleh Dr. Jamilah Omar bersama tiga orang kakitangan fakulti.

Turut serta ialah tiga orang guru pelatih UPSI, dua orang guru Pendidikan Seni Visual SMK Perimbun serta lima orang murid SMK Perimbun.

Program dimulakan dengan sesi ucapan aluan oleh Pengetua SMK Perimbun, Puan Rose Aliza Sutrisno, yang menyambut baik kolaborasi ini.

“Program sebegini bukan sahaja menceriakan persekitaran sekolah tetapi juga menyemai minat dan bakat seni dalam kalangan pelajar,” ujar beliau dalam ucapannya.

Menurut Pensyarah FSKIK UPSI, Dr. Jamilah Omar, program sebegini membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyumbang ilmu dan kemahiran dalam konteks sebenar serta membina hubungan positif bersama komuniti sekolah.

“Kami di Fakulti Seni amat menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam program berbentuk khidmat masyarakat seperti ini. Ia bukan sahaja memupuk bakat dan kreativiti, malah mendidik tentang nilai kerjasama dan tanggungjawab sosial” ujar beliau.

Program ini turut diserikan dengan taklimat ringkas oleh guru pendidikan seni visual sekolah serta sesi pertukaran cenderamata antara pihak UPSI dan SMK Perimbun sebagai simbolik penghargaan dan jalinan kerjasama.

Aktiviti utama program adalah penghasilan mural bertemakan flora, yang menghiasi dinding luar kelas di sepanjang blok C SMK Perimbun.

Mural yang menampilkan elemen daun dan bunga berwarna-warni ini bukan sahaja menceriakan persekitaran sekolah, malah menyerlahkan kreativiti pelajar serta nilai estetik yang ingin diterapkan.

Gambar mural ini menggambarkan suasana kerjasama dan semangat seni yang tinggi dalam kalangan peserta.

Kerjasama yang erat antara pelajar universiti, guru, dan murid sekolah menjadikan program ini satu platform bermakna untuk perkongsian ilmu, penerapan nilai seni dan pembinaan jaringan komuniti.

Program ini membuktikan bahawa seni mampu menjadi medium pendidikan yang inklusif dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.